
Bank Rakyat Perkenal Kad Sentuh™ Pertama untuk Golongan Cacat Penglihatan
BANK Rakyat dan Mastercard telah bekerjasama untuk mengintegrasikan ciri Touch Card™ Mastercard ke dalam rangkaian terpilih kad bank. Touch Card™ ini, yang dibangunkan oleh Mastercard, menampilkan reka bentuk taktil khas dengan lekuk yang mudah dikenali bagi membantu pengguna yang buta dan kurang penglihatan mengenal pasti jenis kad sama ada kredit, debit atau prabayar.
Ciri Touch Card™ ini direka bentuk dengan mengambil kira keperluan aksesibiliti demi memberikan rasa keselamatan, keterangkuman dan kebebasan yang lebih baik kepada 2.2 bilion orang di seluruh dunia yang mengalami masalah penglihatan. Di Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan hampir 64,000 orang mempunyai masalah penglihatan.
Apabila semakin banyak kad kini direka tanpa cetakan timbul bagi nama dan nombor, proses mengenal pasti kad menjadi cabaran bagi individu yang cacat penglihatan. Touch Card™ mengatasi isu ini melalui reka bentuk lekuk taktil berbeza yang dipotong dari sisi pendek kad, dengan tiga variasi: lekuk bulat untuk kad debit, lekuk petak untuk kad kredit dan lekuk segitiga untuk kad prabayar – membolehkan pengguna mengenal pasti kad hanya melalui sentuhan serta menggunakannya dengan arah yang betul semasa membuat bayaran atau menggunakan mesin ATM.
Bank Rakyat akan menggunakan ciri Touch Card™ ini bagi dua portfolio kad sedia ada: Kad Kredit-i Muslimah Bank Rakyat, kad kredit patuh Syariah khusus untuk wanita akan mempunyai lekuk berbentuk petak, manakala Kad Debit-i Bank Rakyat akan mempunyai lekuk bulat. Pelanggan boleh memohon kad dengan reka bentuk baharu ini bermula April 2025.
Sebelum pelancaran ini, Bank Rakyat telah bekerjasama dengan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) untuk mendapatkan maklum balas mengenai cabaran yang dihadapi oleh individu cacat penglihatan. Pandangan ini menjadi asas kepada kerjasama Bank Rakyat dengan Mastercard dalam memperkenalkan Touch Card™ kepada pelanggan di Malaysia. Menerusi inisiatif ini, Bank Rakyat turut menjalin kerjasama dengan PERTIS, di mana 30 ahli PERTIS pertama yang menerima Touch Card™ akan menerima insentif sebanyak RM200 setiap seorang menerusi Kad Debit-i Bank Rakyat, yang akan tersedia bermula April 2025.
Inisiatif ini mengukuhkan komitmen Bank Rakyat terhadap perbankan berpusatkan pelanggan dan keterangkuman – menjadi bank Islam pertama di Malaysia yang melancarkan inovasi seperti ini – sejajar dengan komitmen Mastercard dalam menyediakan pengalaman pembayaran yang lebih mudah diakses dan inklusif di seluruh dunia.
Menurut Beena Pothen, Pengurus Negara Mastercard bagi Malaysia dan Brunei:
“Matlamat utama Mastercard adalah untuk membina ekonomi yang lebih inklusif dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Integrasi reka bentuk Touch Card™ dengan Bank Rakyat, sebagai bank Islam pertama di Malaysia yang menggunakannya, mencerminkan komitmen Mastercard untuk bekerjasama dengan rakan strategik di seluruh dunia demi memperkasakan aksesibiliti. Touch Card™ memberi kuasa kepada individu yang cacat penglihatan untuk mengenal pasti dan menggunakan kad mereka dengan lebih yakin hanya melalui sentuhan – bagi menikmati kemudahan, kawalan dan keselamatan yang ditawarkan oleh pembayaran kad.”
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff pula berkata:
“Perkhidmatan kewangan seharusnya inklusif dan boleh diakses oleh semua. Pengenalan Touch Card™ mencerminkan komitmen Bank Rakyat dalam mempertingkatkan pengalaman perbankan bagi semua rakyat Malaysia termasuk mereka yang mengalami masalah penglihatan. Melalui kerjasama dengan PERTIS dan Mastercard, kami telah mengintegrasikan ciri Touch Card™ ke dalam beberapa tawaran kad bagi memenuhi keperluan khusus komuniti ini, dengan matlamat mewujudkan solusi sebenar yang memberi kesan dalam kehidupan seharian.”
Kerjasama ini turut diperkukuhkan dengan sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Orang Buta Islam Malaysia, yang memperjuangkan hak dan kebajikan komuniti cacat penglihatan serta menyokong inisiatif seperti Touch Card™ untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kewangan.
Touch Card™ Mastercard ini asalnya direka bersama IDEMIA, peneraju global dalam penyelesaian identiti digital, dan telah disahkan serta disokong oleh Royal National Institute of Blind People (RNIB) di UK serta VISIONS/Services for the Blind and Visually Impaired di Amerika Syarikat.
Maklumat lanjut boleh didapati di: