Ekonomi

Bank Rakyat meterai perjanjian terbit sukuk RM10 bilion

BANK Rakyat memeterai perjanjian dengan beberapa institusi perbankan untuk menerbitkan Sukuk Wakalah dengan nilai nominal RM10 bilion bagi tempoh 30 tahun.

Terbitan susuk berkenaan dilaksanakan melalui sebuah syarikat tujuan khas iaitu Imtiaz Sukuk II dengan sasaran saiz terbitan RM500 juta pada peringkat awal.

Untuk melaksanakan penerbitan itu juga, Bank Rakyat melantik Maybank Investment Bank Berhad sebagai Principal Adviser dan Lead Arranger.

Malah, untuk terbitan pertama ini, Bank Muamalat Malaysia Berhad, CIMB Investment Bank Berhad, Maybank Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad dilantik sebagai Join Lead Managers.

“Program ini distruktur berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar yang dipersetujui oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan diberikan penarafan AA2(s) oleh RAM Rating Berhad.

“Penerbitan Sukuk ini dijangka akan bermula dalam waktu terdekat dengan saiz terbitan sebanyak RM500 juta dengan pilihan untuk meningkatkan terbitan.

“Program Sukuk membolehkan Bank memperoleh pendanaan jangka panjang dengan kadar tetap, di samping mempelbagaikan komposisi pendanaan jangka panjang.

“Selain itu, ia juga akan mengurangkan kebergantungan Bank kepada pendepositk korporat, sekali gus meningkatkan nisbah regulatori untuk keperluan perniagaan perbankan.”

Demikian kata Bank Rakyat dalam satu kenyataan hari ini selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Program Sukuk Wakalah Bank Rakyat Dengan Nilai Nominal RM10 bilion hari ini.

Majlis tersebut diadakan di Menara Berkembar Bank Rakyat Kuala Lumpur dan dilancarkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed memaklumkan penerbitan peringkat awal sukuk ini akan diadakan pada bila-bila masa.

“Bagi peringkat seterusnya, kita akan melihat potensi pasaran dan melihat perkembangan terbitan sebelum menerbitkan sukuk pada peringkat seterusnya.

“Proses ini akan berterusan mencakupi terbitan pada nilai nominal RM10 bilion sehingga 30 tahun,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Wan Junaidi inisiatif yang diambil Bank Rakyat adalah bertepatan dalam menghadapi landskap ekonomi mencabar.

Katanya, cabaran terbesar yang memberi kesan kepada seluruh dunia adalah pandemik Koronavirus (Covid-19).

“Jika kita lihat, sukuk banyak menyumbang kepada peningkatan keberkesanan pengagihan dana dalam sistem kewangan negara serta antarabangsa.

“Pasaran sukuk sebagai sumber pembiayaan signifikan bagi projek pelaburan skala besar berperanan penting dalam memudahkan proses pembangunan ekonomi.

“Ini terbukti, apabila sukuk menyumbang 70 peratus daripada penerbitan bon korporat di negara ini sejak 2017,” katanya. – SM

(Visited 334 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button