Politik

Keputusan MKT UMNO bermotifkan kepentingan sempit, kata Wanita PN

Tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin bermotivasikan kepentingan sempit kelompok tertentu.

Wanita Perikatan Nasional (PN) dalam satu kenyataan berkata, tindakan tersebut juga membelakangkan kepentingan rakyat dan negara ketika kerajaan sedang menumpukan sepenuh usaha dan tenaga dalam memerangi pandemik Covid-19.

Mereka turut menyangkal dakwaan MKT UMNO bahawa kerajaan Perikatan Nasional gagal di atas beberapa isu seperti yang dijadikan alasan untuk menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.

“Setakat ini, pendekatan kerajaan telah melaksanakan pengurusan Covid19 yang seimbang antara mengekang penularannya dan memelihara penghidupan rakyat.

“Harus diingat, negara telah berjaya mengelakkan pandemik berskala bencana seperti di beberapa negara lain manakala ekonomi dan punca pendapatan rakyat dapat dipertahankan daripada kelumpuhan,” katanya.

Wanita PN yakin rakyat yang terhimpit kehidupan mereka akan kecewa dengan keputusan yang telah dibuat oleh MKT UMNO.

Jelasnya, rakyat mahukan semua kelompok terutamanya kelompok politik untuk mengenepikan kepentingan politik partisan dan menggembleng seluruh usaha, tenaga dan sumber untuk membantu mereka dalam keadaan yang getir.

“Wanita Perikatan Nasional dengan ini menyatakan sokongan yang penuh dan tidak berbelah bagi kepada Perdana Menteri untuk terus meneraju kerajaan.

“Sebaik menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin utama negara, beliau telah memimpin dengan sehabis baik serta menyediakan jalan keluar dengan Pelan Pemulihan Negara yang jelas.

“Wanita Perikatan Nasional berikrar akan tetap bersama dengan YAB Perdana Menteri sehingga ke hujung jalan untuk di dalam usaha genting untuk menewaskan pandemic Covid19 dan membawa rakyat untuk menikmati kehidupan seperti sediakala,” katanya.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Ketua Srikandi Bersartu Datuk Seri Rina Mohd. Harun, Ketua Dewan Muslimat Pas Senator NUridah Mohd. Saleh, Ketua Wiranita Star Evelyn Gobile, Ketua Wanira SAPP Irene Chan Kam Lan dan Ketua Wanita Gerakan Janice Wong Oi Foon.-SM

 

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button