Sukan

UniMAP mahu ulang juara SUKUM Kali Ke-13

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berikrar untuk mengulangi lagi kejuaraan pada Kejohanan Sukan Staf Universiti Awam Malaysia (SUKUM) Kali Ke-13 ini.

Ini memandangkan sebelum ini telah 12 kali berturut-turut Unimap menjuarai SUKUM.

SUKUM bakal berlangsung pada 17 September hingga 24 September ini di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, sasaran tersebut ditetapkan dalam usaha mengekalkan pencapaian selaku juara keseluruhan SUKUM yang disandang sejak tahun 2008.


“Saya percaya atlet UniMAP berupaya mencapai kejayaan yang disasarkan sekiranya sentiasa fokus kepada kejayaan, berfikiran positif, mempunyai keyakinan tinggi dan tidak bersikap sambil lewa,” katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Bendera dan Amanat Naib Canselor Kejohanan SUKUM, di Kampus UniMAP Kubang Gajah, di sini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP  Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Pendaftar UniMAP Saad Din yang juga Ketua Kontinjen SUKUM UniMAP dan Pengarah Pusat Sukan & Rekreasi UniMAP, Nazmizan Muhamad.

Antara acara yang disasarkan menjadi penyumbang emas ialah olahraga, tenpin boling, bola tampar lelaki dan wanita, bola sepak senior, dart, badminton, dan petanque.

Pada kejohanan SUKUM kali ini, UniMAP menghantar 181 atlet dan pegawai untuk mengambil bahagian dalam 14 acara antaranya Badminton, Basikal, Bola Sepak (Senior), Bola Sepak (Veteran), Bola Tampar (Lelaki), Bola Tampar (Wanita), Dart, Olahraga, Tenpin Boling , Sepak Takraw, Ping pong, Golf, dan Catur.

Kejohanan SUKUM dianjurkan dengan matlamat menyatu dan mewujudkan hubungan yang erat dalam kakitangan universiti awam yang bernaung di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Penganjuran dwi tahunan itu juga dilaksanakan secara bergilir oleh universiti awam terlibat. – SM

(Visited 434 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button