Ekonomi

Bank Rakyat beri wajah baharu kepada Stesen LRT Bank Rakyat-Bangsar

Bank Rakyat hari ini menampilkan wajah baharu Stesen Bank Rakyat-Bangsar sebagai langkah penjenamaan semula stesen transit aliran ringan berkenaan yang terletak kurang satu kilometer dari ibu pejabat Bank Rakyat di Brickfields.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar berkata, imej baharu Stesen Bank Rakyat-Bangsar merupakan langkah penjenamaan utama Bank Rakyat.

“Penjenamaan ini juga sejajar dengan visi kami untuk menjadi Bank Koperasi Islam Progresif No. 1 di Malaysia dengan meningkatkan kesejahteraan ekonomi anggota, pelanggan dan negara.

“Penajaan Stesen Bank Rakyat-Bangsar yang bermula sejak 2015 ini turut mewakili tanggungjawab sosial korporat Bank Rakyat dalam pembangunan sektor pengangkutan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan, pembabitan Bank Rakyat di Stesen Bank Rakyat-Bangsar dalam jangka masa yang panjang akan mengembangkan lagi asas pelanggannya.

 

Jelasnya, tindakan itu juga membantu mengukuhkan jenama Bank Rakyat dan meraih pasaran baharu dalam kalangan pengguna stesen tersebut.

“Inisiatif ini juga amat signifikan kepada Bank Rakyat dan orang ramai kerana ia merupakan satu-satunya bank yang diberikan hak penjenamaan stesen di Malaysia oleh Prasarana Malaysia Berhad,” katanya.

Dalam pada itu, bersempena usaha penjenamaan itu, Bank Rakyat turut menyerahkan kelengkapan persekolahan kepada 300 orang murid daripada tiga buah sekolah kebangsaan di sekitar Lembah Klang termasuk, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Ehsan, Kepong, SK Manjalara, Kepong dan SK Sungai Tua Baharu, Batu Caves, Selangor.

Sumbangan tersebut diserahkan oleh Datuk Abdul Rani kepada wakil sekolah semasa sesi lawatan di Stesen Bank Rakyat-Bangsar.

Turut hadir, ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat serta ahli Jawatankuasa Pengurusan Bank Rakyat.

Tambah Syed Abdul Aziz, sumbangan ini dilaksanakan bagi membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan menyediakan keperluan yang lengkap untuk anak-anak mereka dalam melakukan persiapan persekolahan, terutama sekali kepada mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat dan sebagai tanda keprihatinan Bank Rakyat kepada masyarakat yang terjejas,” jelasnya. -SM

(Visited 569 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button