Ekonomi

Bank Rakyat anjur Festival Rakyat di Anjung Floria, Putrajaya

BERKONSEPKAN beli-belah tanpa tunai, Festival Rakyat menawarkan pelbagai tawaran istimewa kepada komuniti di sekitar Putrajaya termasuk daerah Sepang dan Lembah Klang bagi membuat persiapan kelengkapan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Festival ini yang berlangsung di Anjung Floria, Putrajaya selama empat hari bermula 13 hingga 16 April 2023 dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam, menghimpunkan sebanyak 150 usahawan jenama terkenal termasuk penganjuran pelbagai program menarik yang lain.

Pengunjung turut berpeluang membeli barangan asas seperti minyak masak, tepung gandum, gula dan beras dengan harga yang jauh lebih murah di gerai jualan usahawan di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Antara jenama terkenal lain yang turut menawarkan harga istimewa termasuk Bulan Bintang, Mawarose, Christy Ng, Kucate, Naelofar, Elrah Exclusive dan banyak lagi.

Dalam ucapannya semasa majlis perasmian festival tersebut, Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, festival ini yang menyasarkan jualan sebanyak RM1.7 juta merupakan festival jualan kali keempat dianjurkan oleh Bank Rakyat sejak penularan pandemik pada tahun 2020 lalu dengan memberi fokus kepada kaedah pembelian tanpa tunai.

“Saya turut difahamkan bahawa penyertaan usahawan dalam festival ini tidak melibatkan sebarang kos termasuk penyediaan tapak reruai percuma kepada usahawan. Semoga kemudahan ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat usahawan untuk terus memajukan perniagaan mereka,” tambah Dato’ Sri Suriani.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, dengan mengambil keberkatan bulan Ramadan Festival Rakyat ini dianjurkan bagi menyediakan platform yang terbaik kepada usahawan tempatan untuk menjana pendapatan dengan memperkenalkan produk keluaran mereka di samping meneroka peluang pasaran serta jaringan kerjasama baharu.

“Sebagai agensi di bawah KUSKOP, Bank Rakyat sentiasa peka dan prihatin terhadap kemampanan dan kesejahteraan usahawan terutamanya mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) dalam mengharungi cabaran ekonomi masa kini.”

“Di samping itu, inisiatif ini adalah amat sejajar dengan komitmen Bank Rakyat di bawah pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) bagi menyokong usaha berterusan Kerajaan dalam melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing dan kompetitif yang mampu membawa pembaharuan serta membangunkan daya cipta baharu bertepatan dengan konsep Malaysia Madani,” tambah Ahmad Shahril.

Lebih istimewa, festival ini membolehkan pengunjung daripada pelbagai peringkat umur dan lapisan masyarakat turut mengambil bahagian dalam aktviti yang dianjurkan. Antara kemudahan dan aktiviti menarik yang disediakan termasuk pertandingan mewarna Nuri, ruang permainan kanak-kanak, persembahan buskers secara langsung serta program perkongsian daripada usahawan PKS. Pengunjung juga boleh memohon dan mendapatkan maklumat lanjut berhubung produk dan perkhidmatan Bank Rakyat di reruai yang disediakan. – SM

Artikel berkaitan > Bank Rakyat gandakan had Pembiayaan Peribadi-i kepada RM400,000

(Visited 968 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button