AgamaNasional

Isu kalimah “Allah”: Orang politik kaut untung

MANA-MANA ahli politik yang mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) (kerajaan) menarik balik rayuan kes penggunaan kalimah Allah harus bertanggungjawab apabila mengeluarkan kenyataan, kata Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Beliau berkata, dalam usaha mengaut keuntungan politik atau political mileage, janganlah sampai membelakangkan fakta berhubung isu itu.

“Mahkamah tidak pernah kemukakan soal agama. Ia aspek pelanggaran terhadap percanggahan keputusan Jemaah Menteri dengan arahan pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Persaraan Jabatan Pendaftaran Negara di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri dan ditanya sama ada pembangkang cuba memainkan isu kalimah “Allah” untuk menyerang kerajaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Isnin lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa penganut Kristian boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab lain secara bersyarat dalam penerbitan bahan pembelajaran agama mereka.

Notis pemberhentian rayuan itu yang difailkan pada 18 April, menyatakan perayu tidak berniat meneruskan rayuan dikemukakan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan di Mahkamah Rayuan tanpa perintah terhadap kos.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Jill Ireland, wanita beragama Kristian dari suku Melanau di Sarawak.

Sementara itu, berhubung cadangan penggunaan kalimah “Allah” yang akan dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja nanti, Saifuddin berkata, perkara itu akan ditentukan Jemaah Menteri.

“Jemaah Menteri akan memutuskan sama ada KDN atau kementerian lain akan diberi tanggungjawab merangka cadangan itu.

“Kalau dari segi akta punca kuasa itu, akta penerbitan dan mesin cetak bawah kawal selia KDN. Tetapi (perkara ini) Jemaah Menteri akan putuskan,” katanya.

Saifuddin juga memaklumkan, cadangan akan dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja itu bertujuan menjadi penyelesaian komprehensif pada masa akan datang.

anwar

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jemaah Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengemukakan cadangan berhubung penggunaan kalimah “Allah” kepada Majlis Raja-Raja.

Anwar dalam kenyataannya berkata, keputusan itu dicapai selepas mesyuarat Jemaah Menteri. – SM

(Visited 169 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button