Hiburan

Konsert UK’SLAM Musical 3 Februari lalu: Keabadian kenangan

MASIH segar dalam ingatan menonton tiga jam persembahan Konsert UK’SLAM Musical di Stadium Malawati, Shah Alam, pada malam minggu lalu.

Seronok dan terhibur dengan seleksi lagu-lagu popular kumpulan UKs dan Slam yang bijak membahagikan segmen persembahan masing-masing.

Memulakan persembahan, vokalis UKs, Amir tampil segak dengan kostum yang digayakannya.

Paling penting, sepanjang persembahan termasuk segmen duet dengan Zamani Slam, Amir membuktikan kemampuan vokalnya dalam usia melebihi separuh abad.

Apa sahaja yang mencetus kebimbangan sebelum tarikh konsert 3 Februari lalu, bukan sahaja terhapus tetapi padam dan tenggelam dengan persembahan terbaik yang dilakukan oleh Amir UKs.

Satu demi satu lagu didendangkan oleh Amir, lebih 4,500 peminat  dari kedua-dua artis berkumpulan ini hadir amat sporting  kerana mereka turut menyambung  dan menyanyi bersama-sama Amir.

Pantang Amir hulur mikrofon ke arah penonton, bergemalah Stadium Malawati, Shah Alam dengan  suara hadirin sing along.

Segmen medley UKs ada lagu-lagu berjudul Rhythm Si Jantung Hati, Satu Lilin Sehening Malam, Di Luar Kemampuan Ku.

Lain-lain lagu UKs yang memang hits ialah Untuk Apa, Kekasih Ku Di Menara, Kau Satu-Satunya, Kembali Mencari (sekadar menyebut beberapa judul lagu).

Persembahan segmen UKs memang tidak membosankan dan Amir mantap dan steady melantunkan sembilan lagu secara keseluruhannya.

Ya benar! Ini konsert yang julung kali menggabungkan dua artis berkumpulan hebat tanah air, UKs dan Slam di atas satu pentas yang dibawakan secara berani oleh produksi Bombbay Legend Worldwide.

Para peminat kumpulan Slam menanti dengan sabar kemunculan Zamani bersama rakan-rakan anggota kumpulan untuk mengambil alih baton daripada UKs.

Pemanas pentas Slam, Zamani tampil dengan lagu intro Kembali Merindu.

Seronok dengan Kembali Merindu, Zamani meneruskan persembahan dengan vokal umpama telan CD menerusi lagu Kita Terpaksa Bermusuhan, Tak Mungkin Berpaling, Entah Mengapa, Kurnia dan Rayuan Di Puncak Genting.

Medlye? Mesti ada dengan lagu-lagu Tiada Aku Jemu, Biarkan Ia Pergi serta Malam dan Semalam.

Kalau Zamani tidak menyanyikan lagu berjudul Mentari Muncul Lagi, bukan Slamlah ya. Lagu wajib itu disampaikan dan diikuti dengan lagu yang menjadi runut bunyi dari filem Maria Mariana.

Kata Bombbay selaku tokeh konsert, ada segmen yang memang dinanti-nantikan dan mencetus sejarah tersendiri bagi kedua-dua kumpulan yang berusia berdekad-dekad ini.

UKs dan Slam muncul bersama dalam segmen akustik dan menutup persembahan dengan duet bersilang iaitu Zamani menyanyikan lagu-lagu popular UKs dan Amir menyanyikan lagu-lagu berhantu Slam.

Tiada dua tiada tiga, mungkin tidak berulang lagi sebuah persembahan berupa konsert yang dipentaskan oleh UKS dan Slam berkonsepkan muzikal.

Ya sesuai dengan usia vokalis-vokalis dan anggota dalam kumpulan, konsert muzikal dan santai amat sesuai dengan Amir dan Zamani.

SAARI AMRI komposer yang banyak menyumbang lagu-lagu terbaik dalam album-album kumpulan UKs hadir pada malam konsert dan dijemput ke pentas untuk memberikan sepatah dua kata.

Kenangan yang dipahat pada 3 Februari lalu, simpanlah baik-baik dalam ingatan kerana masa itu tidak boleh diputar semula dan masa hadapan, kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan.

Syabas dan tahniah Amir UKS dan Zamani Slam kerana telah memberikan satu persembahan hiburan terbaik buat para peminat kedua-dua kumpulan lagenda tanah air. – SM

BACA 3 Feb Konsert UK’SLAM Musical: Duet terhebat Zamani dan Amir

(Visited 94 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button