Rencah Hidup

Banjir paras pinggang, ujian kedua penduduk Hulu Langat

KIRA-KIRA  pukul 4.30 petang, guruh sudah berdentum, kilat sudah sambar-menyambar dan hujan mulai turun di kawasan Hulu Langat, Selangor.

Hakikatnya waktu begini fenomena air sungai ‘mencium’ tebing sudah biasa bagi kami sekeluarga kerana 30 tahun membesar di Kampung Sungai Raya, Batu 9, Cheras belum pernah lagi rumah kami dilanda banjir melainkan beberapa rumah penduduk kampung yang terletak di kawasan agak rendah khususnya di kawasan belakang masjid.

https://youtu.be/m9ZY4i3EaLA

Ini adalah artikel yang dihasilkan oleh bekas wartawan Utusan Malaysia, HASIF IDRIS untuk SUARA MERDEKA yang mana Hasif adalah penduduk jati kawasan yang dilanda banjir petang tadi.

Itupun sekitar tahun 1998 dan pertengahan era milenium (2000 ke atas). Hendak kata betapa jarangnya musibah banjir melanda kawasan kami.

Tetapi agak berbeza kali ini, di saat Kampung Sungai Lui, Batu 20 dalam kawasan parlimen yang sama, Hulu Langat diarahkan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hanya selang dalam 20 kilometer, Kampung Sungai Raya pula dilanda banjir akibat hujan lebat lebih kurang sejam itu.

Akibatnya beberapa buah rumah penduduk kampung dilanda banjir sehingga mencecah paras pinggang. Ya, banjir kali ini benar-benar menduga penduduk kampung yang asalnya terpaksa akur duduk di dalam rumah akibat wabak Covid-19.

Namun, tikar mengkuang sudah basah, karpet sudah lembab dan air sudah bertakung di dalam rumah. Hendak atau tidak terpaksa juga keluar rumah untuk membersihkan apa yang patut.

Mujur tindakan pantas Ketua Kampung, Haji Norlisman Abu terus menghubungi Unit Bomba Sukarela bagi membantu penduduk kampung membersihkan kawasan halaman masing-masing.

Alhamdulillah, sebelum Maghrib kebanyakan rumah sudah berjaya membersihkan kawasan masing-masing sambil dibantu anak muda kampung yang ringan menghulurkan bantuan tanpa dipinta.

Walaupun kelibat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua dan Ahli Parlimen Hulu Langat masih belum kelihatan menjengah kawasan yang mungkin mengalami kekangan akibat perintah PKP, namun diharapkan isu ini mendapat perhatian sewajarnya oleh pihak berwajib khususnya Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Selangor. Aduan tentang masalah perparitan juga sudah lama dibuat oleh ketua kampung.

Hal ini kerana timbul persoalan kerana kebiasaannya banjir boleh berlaku sekiranya hujan berlarutan dalam tempoh dua hingga tiga jam.

Namun, situasi ini agak pelik dan janggal. Menurut ketua kampung, banjir kali ini berlaku berkemungkinan besar akibat dua sebab utama.

“Sebab pertama akibat projek perumahan di kawasan kondominium berdekatan stesen MRT Taman Suntex yang tidak memasang sebarang tebatan banjir sehingga menyebabkan air dari projek di sana mengalir deras ke sungai.

“Kedua, sikap acuh tak acuh segelintir penduduk kampung yang membuang sampah sarap ke sungai sehingga menjadi penghalang di hilir sungai sekaligus menyebabkan air sungai melimpah,” katanya.

Natijahnya, sampai bila masalah ini akan selesai dan pihak mana yang akan ambil peduli? Sampai bila penduduk kampung B40 dan M40 perlu menelan sisa projek mewah penduduk T20? – SM

(Visited 408 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button