Ekonomi

Bank Rakyat komited tingkat ekonomi digital penduduk luar bandar

Anjur Karnival Desa Tanpa Tunai di Lahad Datu

BANK RAKYAT terus komited mempertingkatkan ekonomi digital penduduk luar bandar dengan membudayakan kaedah pembayaran tanpa tunai menerusi penganjuran Karnival Desa Tanpa Tunai di Desa Kencana, Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.

Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula 6 hingga 7 Ogos 2022 ini bertujuan untuk mentransformasikan gaya hidup masyarakat luar bandar termasuk di kawasan Felda melalui adaptasi penggunaan perbankan dan pembayaran elektronik seperti DuitNow, MyDebit, JomPAY serta kemudahan lain seperti Ejen Bank, Bank Bergerak dan perkhidmatan perbankan internet iRakyat.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, program kali ini merupakan jalinan kerjasama antara Bank Rakyat dan rakan strategik untuk mendekati usahawan desa secara lebih dekat agar mereka dapat memanfaatkan teknologi dan platform yang disediakan oleh Bank Rakyat untuk meningkatkan kecekapan perniagaan sekali gus melonjakkan ekonomi digital negara.

“Menerusi program ini, kami dapat membantu membudayakan ekonomi digital kepada peniaga dan masyarakat setempat dengan kaedah pembayaran dalam talian dan tanpa tunai serta dapat memacu ekonomi gig yang mana ia dilihat sebagai satu trend pekerjaan secara digital menerusi ekonomi yang dikongsi bersama.

“Sebagai contoh, perkhidmatan e-hailing telah membantu ramai individu menjana pendapatan serta membuka peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat setempat.

“Inisiatif ini turut memberikan nafas baharu kepada Keluarga Malaysia di desa untuk bersama-sama menikmati kemakmuran digital selaras dengan keperluan semasa dan perubahan norma baharu bagi meningkatkan aktiviti pembelian dalam talian dan transaksi tanpa tunai yang semakin meningkat,” katanya.

Pada masa yang sama, Bank Rakyat turut melancarkan program Sekolah Tanpa Tunai di Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana, Sekolah Kebangsaan Sahabat 16 dan Sekolah Kebangsaan Sahabat 4, Lahad Datu.

Penganjuran program ini bertujuan untuk membantu meningkatkan tahap kecelikan kewangan digital dalam kalangan pelajar sekolah sekolah seiring dengan perkembangan pesat teknologi dalam pasaran perniagaan menerusi perkhidmatan pembayaran tanpa tunai.

“Bank Rakyat menawarkan beberapa perkhidmatan bagi menyokong dan mempercepatkan ekosistem serta adaptasi Sekolah Tanpa Tunai seperti Pembukaan Akaun Simpanan-i dan penyediaan kad MyDebit pelajar, penyediaan Ejen Bank, penyediaan Terminal P.O.S (Point of Sale) serta perkhidmatan JomPAY dan DuitNow,” ujar Nizam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelajar boleh merancang kewangan mereka dengan lebih bijak menerusi perkhidmatan perbankan internet iRakyat yang mana mereka boleh menyemak maklumat baki Akaun Simpanan-i, rekod transaksi, pindahan wang, urusan Tabung Haji dan melakukan pembelian dalam talian dengan lebih mudah, pantas dan selamat hanya dengan mengakses aplikasi mudah alih pada bila-bila masa. – SM

Artikel berkaitan > Bank Rakyat bersama pelbagai agensi berjaya kumpul dana wakaf dan sedekah lebih RM 3.1 juta

(Visited 350 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button