Ekonomi

Pelabur semakin yakin melabur di Malaysia

KEYAKINAN pelabur-pelabur terhadap Malaysia kini semakin baik dan itu akan mendorong lebih banyak pelaburan masuk tidak lama lagi, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) hari ini, Fahmi berkata, keyakinan itu dizahirkan para pelabur ketika beliau bertemu mereka di London baru-baru ini sewaktu melakukan lawatan kerja sempena Minggu Teknologi London (LTW) 2023.

Beliau berkata, misi pelaburan ke LTW 2023 dari 12 hingga 16 Jun itu juga menyaksikan Malaysia meraih komitmen pelaburan bernilai RM8.3 bilion dalam pelbagai sektor teknologi digital.

“Kita telah tinggalkan perasaan positif dalam kalangan pelabur, mereka (dapat) rasa hala tuju, kestabilan politik dan keupayaan Malaysia untuk jadi pusat tumpuan bagi pelaburan.

“Mereka ada keyakinan tambahan. Insya-Allah, tidak mustahil, dalam masa tidak berapa lama lagi lebih banyak pelaburan masuk ke negara kita,” katanya.

Fahmi seterusnya menyeru agensi dan jabatan bawah KKD untuk tidak bekerja secara silo, sebaliknya perlu saling bekerjasama mengetengahkan produk digital atau industri kreatif yang bertepatan di forum antarabangsa seperti LTW tahun depan.

“Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) atau Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebagai contoh, wajar mengumpulkan produk bersesuaian daripada agensi-agensi KKD untuk diperkenalkan kerana ia membantu eksport ekonomi digital,” katanya. – SM

 

(Visited 92 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button