Nasional

Banjir: Hampir 200 jalan di Pahang terputus

SEBANYAK 127 jalan negeri dan 70 jalan persekutuan di Pahang terjejas akibat banjir yang melanda negeri itu pada Ahad, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata selain jalan terputus akibat takungan air, antara kerosakan lain yang berlaku ialah cerun jalan runtuh yang menyebabkan penutupan jalan di beberapa lokasi.

“Kerja pemulihan akan dimuktamadkan selepas banjir pulih. Bagaimanapun, kita akan melakukan pelan jangka pendek bagi membolehkan jalan terlibat kembali dibuka untuk kegunaan orang ramai, secepat mungkin.

“Penilaian dari segi kerosakan, jumlah peruntukan dan berapa lama tindakan yang perlu diambil bagi membaiki kerosakan terlibat, akan dibuat sebaik sahaja banjir selesai,” katanya kepada Bernama ketika melakukan lawatan kerja di Jalan Kuantan-Segamat di sini hari ini.

Laluan tersebut sebelum ini ditutup kepada pengguna jalan raya pada Jumaat lepas, ekoran kejadian tanah runtuh dan laluan selorong dibuka petang semalam, selepas kerja pembaikan segera dilakukan.


Fadillah berkata laporan awal kerosakan jalan di Pahang berserta anggaran kos yang diperlukan untuk membaikinya, akan dibentangkan kepada Kabinet minggu hadapan.

Beliau berkata, ibu pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan menghantar bantuan diperlukan JKR Pahang, sebagai usaha memudahkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Antara jalan yang terjejas banjir ialah Tranum ke Gap Daerah Raub, Jalan Bentong ke Gua Musang, Jalan Sungai Lembing di Kuantan, Jalan masuk ke Bangkong di sini dan Jalan Sekolah Kebangsaan Kampung Aur di Rompin.

Katanya JKR akan memasang jambatan keluli (balley bridge) bagi menggantikan Jambatan Kampung Lechar di Raub, kira-kira 230 kilometer dari sini, yang runtuh akibat arus deras untuk kegunaan sementara penduduk setempat.

“JKR Temerloh akan menghantar jambatan itu, namun banjir yang masih berlaku menyukarkan kita untuk berbuat demikian buat masa ini dan perlu menunggu sehingga air surut sedikit,” katanya.

Sementara itu, JKR dalam satu kenyataan memaklumkan, kerja pembersihan di lokasi tanah runtuh di Jalan Kuala Lumpur-Kuantan pada Ahad lepas, telah dilakukan dan laluan itu kini dibuka separuh untuk kegunaan semua jenis kenderaan.

“Kerja pembaikan cerun oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun dengan kos anggaran RM1 juta pula dijangka bermula pada pertengahan bulan ini,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

(Visited 128 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button