Kemalangan

Dua wanita rakan sekerja maut kemalangan tiga kenderaan

Dua wanita rakan sekerja maut selepas kereta yang dinaiki terbabit dalam kemalangan melibatkan dua lagi kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Kandang di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dua wanita yang maut dikenali sebagai Noor Izwani Ali Mohd Nor, 35, yang juga pemandu kereta Nissan Almera dan penumpangnya, Nur Aisah Djaapar, 36, kedua-dua dari Merlimau.

Menurutnya, dalam kejadian pukul 8.05 pagi itu, ketiga-tiga kenderaan datang dari arah yang sama menghala ke bandaraya Melaka.

“Bagaimanapun, ketiga-tiga kenderaan itu terbabas ke arah kanan bertentangan jalan hingga menyebabkan berlakunya perlanggaran sesama sendiri.

“Pemandu dan penumpang Nissan Almera meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta Toyota Altis dan penunggang motosikal dikejarkan ke Hospital Melaka serta dirawat di zon kuning.

“Kedua-dua mangsa adalah pekerja sebuah kilang elektronik di Batu Berendam,” ujarnya di sini hari ini.

Christopher berkata, mayat kedua-dua mangsa itu telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba Bukit Katil, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Hamdan Sudin berkata, sepasukan lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat pada pukul 7.45 pagi.

“Sebaik sahaja pasukan keluaran operasi (PKO) tiba lokasi, didapati kemalangan tersebut membabitkan sebuah kereta Toyota Altis, Nissan Almera dan sebuah motosikal Yamaha Y15.

“Terdapat empat mangsa iaitu dua wanita menaiki Nissan Almera meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – SM

(Visited 277 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button