Politik

Perbualan telefon Hamzah memalukan PDRM – Wira Putra

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin digesa meletakkan jawatan atau Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md. Yassin, memecatnya.

Gesaan itu dibuat susulan pengakuan yang dibuat sendiri oleh Hamzah dalam satu sidang akhbar semalam berhubung perbualan telefon mengenai pelantikan Ketua Polis Negara (IGP).

Pengakuan tersebut dikatakan sebagai tindakan memalukan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dicemari dengan campur tangan politik dalam isu pelantikan ketuanya.

Malah, tindakan itu juga menjejaskan imej integriti PDRM dan menghakis keyakinan rakyat terhadap badan penguatkuasa itu serta kerajaan.

“Wira Parti Bumiputera Perkasa (Putra) menggesa Hamzah meletak jawatan atau Perdana Menteri wajar membuat pertimbangan dan mengambil tindakan tegas bagi mengembalikan integriti PDRM.

“Wira Putra menyangkal walaupun tugasnya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Polis terlibat dalam penentuan tugasan pegawai-pegawai polis, namun ia bukan lesen untuk mengadakan atau membuat keputusan diluar mesyuarat.

“Hal ini jelas menunjukkan sikap buruk sebenar sebagai seorang ahli politik yang dikatakan berpengalaman, melanggar etika dan tatacara dengan membuat keputusan melalui pakatan di luar mesyuarat dan lebih buruk lagi hanya menerusi panggilan telefon.”

Demikian kenyataan Ketua Pergerakannya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, hari ini mengulas pengakuan yang dibuat Hamzah terhadap rakaman perbualan telefon tular itu.

Baru-baru ini tular satu rakaman audio yang disunting bersama video berdurasi 1 minit 22 saat itu tular sejak malam tadi dan dikatakan suara dalam rakaman berkenaan mirip Hamzah.

Antara yang dibualkan dalam rakaman itu mengenai kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam polis selain ada menyebut mengenai lantikan seseorang yang berasal dari Ipoh, Perak.

Dalam pada itu, Nasrul Ali Hasan turut mendakwa, campur tangan politik dalam penguatkuasaan dan keselamatan negara tidak wajar berlaku kerana memberi imej buruk kepada pelabur luar.

Katanya, pelabur luar juga menaruh keyakinan terhadap keselamatan sesebuah negara termasuk integriti kepolisannya untuk menjamin kelestarian pelaburan.

“Rakaman perbualan telefon yang tular dikatakan mirip suara Hamzah, berkenaan campur tangan urusan kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan mempamerkan hilangnya integriti dan menghakis kepercayaan rakyat serta pelabur akan keselamatan negara.

“Perbualan yang dirakam dan didedahkan telah memalukan PDRM dan menjejas keselamatan negara. Lebih-lebih lagi yang terlibat adalah Menteri Dalam Negeri itu sendiri,” tegasnya.

Semalam, Hamzah mengadakan sidang akhar selepas menyerahkan surat pelantikan IGP kepada Timbalan IGP, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani di Putrajaya.

Beliau memaklumkan, pelantikan Acryl Sani akan berkuatkuasa pada 4 Mei ini menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang akan tamat perkhidmatannya pada Isnin. – SM

(Visited 520 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button