NasionalNegeri

Bangunkan negara perlu mekanisme akauntabiliti, ketelusan yang kukuh – Raja Puan Muda Perlis

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bertitah, negara

memerlukan mekanisme akauntabiliti dan ketelusan yang kukuh, untuk membolehkan lelaki dan wanita sama-sama memainkan peranan untuk membangunkan negara dan meningkatkan kesejahteraan sejagat.

Titah Baginda, penghasilan statistik gender secara granular perlu terus ditambahbaik dari semasa ke semasa bagi menghasilkan statistik gender yang komprehensif dan reflektif.

Tuanku Hajah Lailatul Shahreen bertitah demikian semasa berkenan menyempurnakan penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah Siri 16 secara ‘hybrid’ anjuran Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini.

Webinar bertajuk ‘Wanita Dalam Pasaran Buruh: Dilema dan Peluang” telah menjemput beberapa panel luar berbincang secara langsung dalam dua sesi forum, termasuk juga sesi ucaptama yang disampaikan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

Titah Raja Puan Muda lagi, peranan wanita dalam pembangunan ekonomi telah dipertingkatkan melalui pelbagai program kesedaran dan pembangunan keupayaan, termasuk kepimpinan dan pembangunan keusahawanan.

“Usaha ini dilaksanakan bagi memperkukuh dan mempertingkat keterangkuman wanita dalam semua sektor pembangunan negara,” titah Baginda.

Baginda bertitah, ini adalah selaras dengan kemampuan dan keperluan mereka bagi tujuan meningkatkan taraf kehidupan, membasmi kemiskinan serta memastikan negara berada dalam keadaan aman dan makmur.”

Sesi perasmian pembukaan webinar ini pula telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penasihat DiRaja YTF itu sendiri.

Sebagai rekod, Webinar YTF ini telah dianjurkan pada setiap bulan bermula dari Siri 1 pada bulan September 2021 hingga ke hari ini, dan akan diteruskan lagi usaha untuk memperkasakan lagi bakat dan peranan wanita itu sendiri berlandaskan kepada moto YTF, “Women In Search of Excellence”. – SM

(Visited 238 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button