Rencana

Mampukah KJ bersihkan UMNO?

ZAHID HAMIDI orang pertama yang panas dan melompat dengan kenyataan Khairy Jamaludin, bahawa dia mahu memimpin UMNO dan negara.

Ini bermakna Khairy atau KJ terang-terangan akan melawan Zahid pada pemilihan tahun hadapan.

Ini bermakna juga KJ bukan sahaja akan melanggar Zahid, bahkan Ismail Sabri Yaakob calon PM dan Mohamad Hasan juga mempunyai angan-angan yang sama.

Ditambah lagi KJ juga mahu bersihkan UMNO.

Masalahnya mampukah KJ berbuat demikian?

Adegan yang sama seperti pernah berlaku ketika Anwar Ibrahim menyertai UMNO, juga atas alasan yang sama.

Mat Sabu berulang kali mengingat Anwar bahawa jika mahu cuci najis jangan masuk ke dalam tong najis, nanti habis berlumuran najis jadinya.

Akhirnya apa yang dibimbangkan berlaku. Mahathir Mohamad yang memberi laluan hijau kepada Anwar, beliau sendiri menjatuhkan Anwar dan menyumbat Anwar 11 tahun ke dalam penjara kerana kesalahan salah guna kuasa dan perbuatan seks songsang.

Semua itu berlaku apabila Anwar membuat gerakan mahu menjatuhkan Mahathir.

Selepas mendapat pengampunan Anwar kini menjadi ketua pembangkang dan bukan sahaja gagal membersihkan UMNO, tetapi masih bergelut membersihkan imejnya.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy menyatakan hasrat untuk mengembalikan semula UMNO sebagai sebuah wadah orang Melayu yang mulia dan bersih seperti suatu masa dahulu, memang satu hasrat yang murni.

Timbalan Ketua Bahagian UMNO Rembau itu berkata, hasrat berkenaan bukan hanya datang daripada dirinya seorang sahaja malah turut melibatkan beberapa rakannya yang lain di dalam UMNO.

Sekarang ini ramai yang saya jumpa maklumkan (pada) saya bukan mereka tidak suka UMNO tetapi tidak tidak berkenan dengan beberapa… beberapa…. beberapa…. dalam UMNO.

“Ini kenyataan, ini realiti dan bukan saya seorang tapi dengan rakan-rakan lain nak kembalikan UMNO menjadi sebuah wadah orang Melayu yang orang Melayu sendiri rasa mulia dan bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Silaturahim anjuran Pertubuhan Amal Kebajikan Agama dan Masyarakat (Perakam) di Kelab Putra Rahman, di sini, malam ini.

Khairy berkata, apabila sudah ada perubahan dan mempunyai pemimpin yang bagus di dalam UMNO serta memperoleh semula kepercayaan orang Melayu, beliau yakin UMNO dilihat semula seperti mana ia ditubuhkan awal-awal dahulu.

“Kalau hendak lihat perubahan dan melihat pemimpin yang bagus, rajin, bersih dan yang boleh buat kerja serta kalau pergi pentas antarabangsa kita tidak rasa malu, kena tolong saya.

“Ini bukan soal menang di Sungai Buloh sahaja, ini hendak bawa perubahan besar pada negara, parti saya sendiri supaya orang Melayu ada pilihan yang dia rasa bangga ini wadah politik terbesar dalam negara,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Khairy, Datuk R. Ramanan (PH), Mohd. Ghazali Md. Hamin (PN), Mohd. Akmal Mohd. Yusof (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan Nurhaslinda Basri serta Syed Abdul Razak Syed Long Alsagof masing-masing calon Bebas.

Selepas kenyataan terbuka KJ pasti mengundang serangan terbuka dan halus oleh banyak pihak kerana ia bukan jenaka politik.

Sama-samalah kita saksikan adegan seterusnya.

(Visited 276 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button