Nasional

Bangkai gajah dengan kolar satelit ditemukan di Kinabatangan

BANGKAI gajah pygmy yang ditemukan di Kinabatangan hari ini mempunyai kolar satelit yang dipakaikan pada leher haiwan itu dengan identifikasi “Girang”.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Augustine Tuuga berkata, bangkai gajah tersebut ditemukan di sebuah ladang sawit dekat sini oleh seorang pekerja ladang kira-kira 5.50 pagi semalam.

“Pekerja itu (lelaki) memberitahu pengurus ladang dan kedua-dua mereka kemudian sama-sama ke tempat bangkai gajah itu ditemukan.

“Daripada pemerhatian, mereka mendapati bangkai sudah berbau busuk dengan beberapa ekor biawak sedang memakan bangkai dan di leher bangkai gajah terdapat kolar,” katanya dalam kenyataan di Kinabatangan malam tadi.

Tuuga berkata pengurus ladang berkenaan kemudiannya memaklumkan JHL, yang menghantar sepasukan pegawai bersama polis, Jabatan Perhutanan, dan Danau Girang Field Centre untuk menyiasat.

Menurutnya, siasatan mendapati jantina gajah adalah betina dan tidak mempunyai kesan kecederaan mahupun tembakan.

Namun, beliau berkata kematian gajah disyaki disebabkan keracunan, yang menyebabkan kegagalan organ.

Tuuga berkata beberapa sampel diambil daripada gajah itu untuk dianalisis di Jabatan Kimia.

Kes disiasat di bawah Seksyen 37 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, katanya.

Penemuan bangkai gajah itu merupakan yang keempat sejak 25 Sept lepas dengan yang pertama ditemukan dengan kesan tembakan di Kalabakan, Tawau.

Bangkai gajah kedua juga ditemukan dengan kesan tembakan di sebuah ladang sawit di Beluran pada 19 Okt, manakala yang ketiga ditemukan terapung di Sungai Kinabatangan pada 3 Nov.– BERNAMA

(Visited 76 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button