Nasional

Bakul makanan: Ahli Parlimen dapat peruntukan RM300,000 hari ini

SEMUA ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang akan menerima peruntukan Bantuan Bakul Makanan berjumlah RM300,000 hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, bagi kawasan Parlimen Gerik dan Batu Sapi peruntukan tersebut akan disalurkan melalui Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Gerik dan Majlis Perbandaran Sandakan.

Ahli parlimen di kedua-dua kawasan tersebut meninggal dunia beberapa bulan yang lalu.

“Susulan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) oleh Perdana Menteri pada 28 Jun 2021, program Bantuan Bakul Makanan sedia ada akan diteruskan dan dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan golongan yang terkesan.

“Tambahan program ini yang melibatkan agihan peruntukan sebanyak RM300 ribu diberikan kepada setiap Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Pembangkang.

“Peruntukan ini bagi memperkasakan program Bantuan Bakul Makanan sedia ada untuk memastikan pelaksanaan yang lebih terangkum dan efektif kepada kumpulan sasar di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhyiddin dalam pengumuman pakej Pemulih Isnin lalu berkata, beliau mengambil sikap untuk mengetepikan perbezaan politik dalam menyediakan peruntukan tersebut kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira daripada parti Kerajaan mahupun pembangkang.
“Baik Ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang, semuanya mestilah memikul tanggungjawab bersama untuk membantu rakyat di kala ramai yang sedang menanggung kesusahan.
“Gunalah peruntukan ini sebaik mungkin untuk membantu rakyat yang memerlukan di kawasan Parlimen masing-masing,” katanya.-SM

 

(Visited 417 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button