Hiburan

Ke mana hilangnya aktor, pengarah Pierre Andre?

AGAK lama juga tidak dengar khabar berita aktor merangkap pengarah muda Pierre Andre. Bukan setakat tiada cerita tentang Pierre, ibunya, dramatis Khatijah Tan juga agak menyepi daripada penampilan dalam drama-drama tempatan.

Walaupun lama menyepi, Pierre masih ramai peminat kerana lakonan yang dipaparkan oleh Pierre suatu ketika dahulu adalah antara yang terbaik.

Mungkinkah ada sesuatu yang tidak kena dalam industri perfileman menyebabkan anak muda ini menyepi?

Atau ada yang mengguris hatinya sehingga menyebabkan anak sulung kepada Khatijah Tan ini, memilih untuk berdiam diri dan sekadar menjadi pemerhati tanpa suara.

Hanya ibunya sahaja yang mengenali karakter Pierre yang tidak ‘berbunyi’; tidak meluahkan perasaan kecewa yang mungkin terbuku di dalam hatinya terhadap dunia perfileman di Malaysia.

Mungkin benar apabila Khatijah pernah menyatakan bahawa anak sulungnya itu tidak berapa suka berkongsi cerita dan lebih selesa menjalani kehidupan ‘low profile’.

Kata Khatijah, dia pernah bertanya anaknya itu, apakah dia merajuk dengan industri seni? Pierre menafikannya.

Naluri seorang itu itu amat kuat. Maka Khatijah menyatakan bahawa dia yakin anaknya itu masih cintakan bidang perfileman.

Terus terang, Khatijah memberitahu bahawa Pierre menerima banyak tawaran termasuk mengarah dan menulis skrip.

Cuma hati anaknya itu belum terbuka untuk kembali aktif  dalam bidang seni dan Pierre lebih selesa dengan kehidupannya bersama isteri dan anak perempuan mereka.

Walaupun Pierre ‘menghilang’ dari lensa kamera namun dia bersama isteri dan anak masih menetap di Kuala Lumpur dan menguruskan perniagaan dalam talian.

Mengimbau sedikit langkah permulaan Pierre dalam dunia lakonan, dia mula mencipta nama selepas pelakon  selepas mendukung watak sebagai Reza dalam filem Gol & Gincu pada tahun 2005.

Nama Pierre Andre turus dipahat di kanvas lakonan apabila dia muncul dalam filem berjudul Jangan Pandang Belakang dan Dunia Baru the Movie.

Selepas mengarah filem Kecoh Primadona Kena Hantu – yang turut menampilkan ibunya, Khatijah Tan, Pierre mengambil langkah mengundurkan diri dari dunia seni secara perlahan-lahan sehingga ke hari ini.

Amat sayang sekali bakat besar yang ada dalam diri Pierre dikuburkan begitu sahaja buat sekian lama.

Dia sepatutnya bangkit dan kembali sebagai aktor berwibawa. Mungkin Pierre menantikan watak yang sesuai, skrip yang mantap untuk membuka kembali hatinya menerobos dunia perfileman.

Kita perlu menghormati pendirian Pierre yang pernah memberitahu ibunya bahawa masanya belum tiba untuk dia kembali duduk di kerusi pengarah.

Apakah melihat rakan-rakan yang bekerja di belakang tabir umpama kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang telah meremukkan sama sekali hati Pierre untuk kembali dalam industry?

Hanya masa yang menentukan! – SM

(Visited 1,248 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button