Nasional

Kebajikan pesara kerajaan akan dijaga – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengambil maklum akan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun 2023 yang telah memutuskan bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 [Akta A1447] adalah tidak sah dan undang-undang sebelum pindaan adalah terpakai dengan sendirinya bagi tujuan penyelarasan pencen.

Oleh yang demikian, kata Perdana Menteri, kerajaan telah membawa isu ini dalam Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) bagi mencari jalan penyelesaian untuk memastikan kebajikan pesara terus terbela.

MJM telah memutuskan supaya pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai 2023 hingga Disember 2023 dibayar menggunakan amaun pencen asal selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan. Amaun pencen asal adalah mengikut tafsiran seperti berikut:

(i) pegawai awam yang bersara sebelum 2013 – bayaran pencen dikembalikan kepada amaun Disember 2012; dan
(ii) pegawai awam yang bersara mulai 2013 – bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara.

Perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal terus dibayar dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi menjadikan amaun yang diterima oleh pesara sama seperti amaun pencen semasa iaitu amaun pencen pada Jun 2023.

Kerajaan sentiasa menghargai sumbangan pesara semasa berkhidmat dan prihatin dengan kebajikan pesara dalam keadaan dan situasi sekarang.

Oleh itu, Kerajaan juga akan mengkaji semakan gaji perkhidmatan awam dan ia akan turut melibatkan pesara-pesara perkhidmatan awam.

Penyelarasan pencen akan dilaksanakan mengikut peratusan kenaikan yang telah ditetapkan selaras dengan Akta Penyelarasan Pencen 1980 [Akta 238].

Hasil keputusan ini diharap dapat memberikan impak positif kepada kakitangan awam, pesara-pesara  Perkhidmatan Awam dan Kerajaan. – SM

(Visited 321 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button