Pembaca

Bajet prihatin demi kesejahteraan Keluarga Malaysia

PENDAPAT PEMBACA

Pada hari ini, seluruh rakyat Malaysia tertumpu pada Bajet 2022.  Tidak sebagaimana bajet-bajet sebelum ini, bajet kali ini amatlah unik kerana Malaysia kini berada di penghujung fasa pandemik COVID-19.

Terlalu ramai yang terkesan dengan pandemik ini yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia sejak merdeka lagi.  Setelah kerajaan mengumumkan Rancangan Malaysia ke-12 baru-baru ini, maka pada hari ini merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia.

Bajet kali ini dijangkakan melibatkan satu bajet yang cukup penting untuk membantu rakyat Malaysia dalam menghadapi kelangsungan hidup seharian pada masa akan datang.

Bayangkan ada yang telah kehilangan pekerjaan, manakala bisnes pula banyak yang mengalami kerugian besar dan gulung tikar.

Lebih malang sekali, ada anak-anak kecil yang menjadi yatim piatu ekoran kedua-dua ibu bapa mereka menjadi mangsa COVID-19.  Pastinya mereka menjalani kehidupan yang begitu sukar dalam waktu sebegini.

Satu perkara yang menarik perhatian semua ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memperkenalkan satu gasasan Keluarga Malaysia.  Gagasan ini memberi seribu satu erti yang akan dibawa bersama-sama dalam Bajet 2022.

Diyakini kerajaan akan mengumumkan pelbagai insentif bukan setakat untuk perniagaan tetapi juga rakyat secara keseluruhannya. Keluarga Malaysia tidak kira berada di mana sahaja dijangka akan meraih pelbagai insentif di bawah Bajet 2022.

Awal-awal lagi, Ismail Sabri menyatakan dengan jelas tiada golongan yang tercicir selari dengan gagasan Keluarga Malaysia yang holistik. Antara yang disebut oleh beliau, bantuan tunai tetap diteruskan dan aspek kesihatan akan diperkasakan pada tahap yang lebih baik.

Tidak kurang juga bantuan bukan setakat akan diberikan kepada golongan 40 peratus berpendapatan rendah (B40) tetapi juga golongan 40 peratus berpendapatan sederhana (M40).  Sektor perniagaan juga akan dibantu terutamanya yang teruk terjejas seperti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Malah, dijangka bajet kali ini akan terus menyalurkan bantuan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU).  Mereka ini antara golongan yang paling terkesan ekoran pandemik COVID-19.

Bahkan, penjawat awam yang merupakan golongan barisan hadapan dalam menghadapi pandemik COVID-19 juga dijangka akan mendapat insentif dalam Bajet 2022 ini.

Sebagai anak penoreh getah, pastinya Perdana Menteri amat memahami kepayahan golongan rentan dan susah.  Berada di tampuk tertinggi pemerintahan negara memberi ruang seluas-luasnya kepada beliau untuk membantu golongan rentan dan susah.

Penoreh getah, nelayan dan petani serta pekebun kecil antara golongan susah yang dijangka akan dibantu dalam Bajet 2022 kali ini.  Mereka perlu diperkasakan untuk jangka masa panjang.

Seorang pekebun atau petani misalnya sepatutnya mampu mengeluarkan hasil yang lumayan sebagaimana yang kita boleh lihat bagaimana golongan ini dapat meraih hasil lumayan di negara-negara maju seperti Jepun.  Golongan seperti ini tidak boleh lagi berada pada takuk yang sama.

Sememangnya ada yang berjaya keluar daripada kesusahan hidup. Namun, dek kerana pandemik COVID-19 ramai golongan M40 telah terkeluar dan berada dalam kategori B40.

Satu perkara yang nyata dalam konsep Keluarga Malaysia ialah, kerajaan sebaik mungkin akan menyatupadukan keseluruhan rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan etnik.

Dalam keadaan pandemik dan Malaysia akan berada dalam fasa endemik selepas ini, perpaduan merupakan asas terpenting untuk memastikan Malaysia dan rakyatnya bangkit semula.

Dengan tema, “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” Bajet 2022 akan memberi penekanan ke atas tiga teras utama, iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran yang akan merealisasikan sebuah bajet yang mengutamakan segenap lapisan masyarakat Malaysia.  Sebuah bajet prihatin demi kesejahteraan Keluarga Malaysia!

PROFESOR MADYA DR. ROHAMI SHAFIE merupakan Pengarah Institut Kajian Strategik & Pembangunan Perakaunan Mampan (ISSAD), Pusat Pengajian Perakaunan. Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), Kolej Perniagaan (COB)Universiti Utara Malaysia.

 

(Visited 138 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button