Nasional

Penggunaan kalimah Allah: Desakan batal rayuan perbuatan tidak bertanggungjawab, jejas keharmonian

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Muhamad Nur Aizat Noor Azam menyelar desakan menarik balik rayuan kerajaan persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam menyifatkan, sebagai tidak bertanggungjawab.

“Saya merujuk kepada Artikel Malaysiakini bertarikh 16.3.2021 yang bertajuk ‘Wakil rakyat Sabah, Sarawak gesa k’jaan tarik balik rayuan kes Allah’ di mana sekumpulan wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak, yang mewakili pihak kerajaan mahupun pembangkang menyeru Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menarik balik rayuan oleh kerajaan persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam (‘kenyataan tersebut’). 

“Saya juga merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi pada 10.3.2021 yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan (‘keputusan tersebut’),” katanya.

Beliau berpendapat bahawa kenyataan tersebut adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan atau menjejaskan keamanan serta keharmonian di antara rakyat berbilang bangsa dan agama dalam negara ini.

“Wakil-wakil rakyat tersebut perlu sedar bahawa selaku responden dalam tindakan di Mahkamah Tinggi tersebut, Kementerian Dalam Negeri serta Kerajaan Malaysia mempunyai hak di sisi undang-undang untuk mencabar keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan dan tidak boleh dihalang daripada berbuat demikian.

“Ini boleh disamakan dengan kes Iki Putra bin Mubarrak vs Kerajaan Negeri Selangor & Majlis Agama Islam Selangor yang didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di mana Pempetisyen di dalam kes tersebut tidak dinafikan haknya oleh mana-mana pihak untuk mencabar kompetensi Dewan Undangan Negeri Selangor untuk menggubal seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 walaupun ianya berkenaan dengan sistem perundangan Islam/Syariah dalam negara ini yang mana adalah satu isu sensitif bagi rakyat beragam Islam dalam negara ini,” katanya.

Muhamad Nur Aizat yang juga seorang peguam berkata, kenyataan tersebut nyata sekali adalah satu cubaan untuk menghalang sebarang bentuk cabaran terhadap keputusan tersebut memandangkan ianya berkemungkinan berpihak kepada sesetengah pihak tertentu.

“Ia adalah jelas daripada kenyataan tersebut bahawa wakil rakyat-wakil rakyat ini mempertahankan keputusan tersebut dengan menyatakan seperti berikut:

“Keputusan mahkamah tinggi itu, kata mereka, tidak akan menyebabkan pendakwahan ke atas orang Islam dan kemurtadan mereka, sebaliknya dakwa mereka, ia hanyalah ketakutan tidak berasas yang cuba diapi-apikan oleh sesetengah orang Malaya.

“Keputusan Mahkamah Tinggi ini sekadar memperbetulkan satu ketidakadilan yang menyakiti hati orang Sabah, orang Sarawak dan Orang Asli akibat kegelisahan, kejahilan dan keangkuhan sesetengah (pihak),” kata mereka lagi.

Muhamad Nur Aizat juga berpendirian tegas bahawa kenyataan tersebut berunsur sub-judice kerana rayuan terhadap keputusan tersebut telahpun difailkan ke Mahkamah Rayuan dan dalam proses penyediaan rekod-rekod rayuan bagi tujuan pendengaran rayuan tersebut. Mahkamah Rayuan masih belum meneliti serta menilai keputusan tersebut dalam rayuan tersebut.

“Sebagai wakil rakyat, mereka harus lebih peka dengan sistem perundangan dan juga insitusi kehakiman di mana mereka sepatutnya menghormati proses penghakiman dalam isu ini dan membiarkan isu ini diputuskan dengan sepenuhnya oleh Mahkamah Rayuan dan juga Mahkamah Persekutuan.

“Kenyataan sebegini boleh menjejaskan proses rayuan di Mahkamah Rayuan di mana ianya menyentuh merit rayuan tersebut yang masih belum didengar dan diputuskan. Kenyataan mereka ini yang mempertahankan ketepatan keputusan tersebut pada peringkat ini juga adalah satu prejudgment kepada pendengaran serta penentuan rayuan tersebut oleh Mahkamah Rayuan.

Wakil-wakil rakyat ini juga, kata beliau, tidak perlu khuatir akan kebijaksanaan Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan yang saya percaya adalah amat arif dan terpilih untuk mengadili rayuan tersebut dengan tepat dan terperinci.

“Isu ini adalah isu perundangan yang tidak sepatutnya digunakan oleh mana-mana pihak bagi kepentingan politik mereka dan semua pihak perlu menghormati proses perundangan serta kehakiman yang wujud dalam negara ini.

“Saya menghormati keputusan tersebut dan juga pada masa yang sama saya menghormati hak Kerajaan untuk mencabar keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan. Wakil rakyat-wakil rakyat ini perlu mengambil pendirian sebegini dan bukan sebaliknya bagi memastikan keharmonian rakyat dalam negara ini dapat dijamin dan dikekalkan,” katanya.

(Visited 343 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button