Uncategorized

Bajet 2022: RM1 bilion untuk PMKS guna tenaga boleh baharu

BANK Negara Malaysia akan menyediakan dana bernilai RM1 bilion kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi meningkatkan amalan lestari dan rendah karbon.

Dana Kemudahan Peralihan Kepada Rendah Karbon itu antara lain bagi menggalakkan PMKS menambah penggunaan bahan mentah lestari dan tenaga boleh diperbaharu.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan komited untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050.

Komitmen tersebut memerlukan Malaysia untuk memacu pembaharuan supaya pertumbuhan kekal mampan dan berdaya saing di pasaran global.

“Kita komited untuk memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (atau SDG) dan penggubalan bajet tahunan sudah mula dijajarkan kepada 17 SDG.

“Selain itu, Bajet kali ini dan tahun-tahun seterusnya juga akan dijajarkan kepada green budgeting bagi beralih ke arah pelaksanaan projek dan program pembangunan bersifat mesra alam,” katanya dalam pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat.

Katanya, kerajaan juga bercadang untuk memberikan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan elektrik (EV).

Tambah beliau, Kerajaan melihat potensi kenderaan elektrik yang memiliki ciri-ciri kenderaan cekap tenaga sebagai usaha meminimum pencemaran asap kenderaan ke udara

“Pengecualian cukai jalan sehingga 100 peratus juga diberikan kepada kenderaan berkenaan. Di samping
itu, pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ringgit turut diberikan ke atas kos pembelian dan pemasangan, sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV,” katanya.

Kerajaan juga menyediakan peruntukan RM450 juta kepada pelbagai kementerian untuk melaksanakan beberapa inisiatif.

Antaranya termasuk Projek pemeliharaan alam seperti Penang Hill Biosphere Reserve dan Tasik Chini Reserve serta projek pemuliharaan alam menangani hakisan pantai di Pantai Merdeka di Kedah dan mengatasi banjir di Melaka.

Program memperkasa penglibatan komuniti tempatan, veteran tentera dan Orang Asli seperti suku Jahai, sebagai pengawal biodiversiti kawasan hutan dengan pertambahan pengambilan peronda sehingga 1,000 orang.

Pemberian bantuan bagi kos operasi zoo, usaha meningkatkan pembiakan Harimau Malaya dan pelaksanaan program Frozen Zoo untuk memelihara kelangsungan spesis terancam.

Peruntukan itu turut meliputi geran bagi menyokong peranan World Wildlife Fund, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia serta Rakan Alam Sekitar.-SM

(Visited 271 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button