Luar Negara

Bahasa Melayu Tak Layak Jadi Bahasa ASEAN, Bahasa Indonesia Yang Sepatutnya – Nadiem Makarim

Cadangan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Asean dibidas oleh seorang menteri Indonesia yang berkata, Bahasa Indonesia sepatutnya menjadi bahasa rasmi.

Ini kerana bahasa itu adalah bahasa yang paling banyak digunakan di Asia Tenggara, kata Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim.

“Saya sebagai Menteri (Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi) tentu menolak usul tersebut. (Cadangan) tersebut perlu dikaji dan dibahas lebih lanjut di peringkat rantau,” katanya, menurut laporan akhbar Indonesia, Kompas, semalam.

“Dengan semua keunggulan yang dimiliki Bahasa Indonesia dari aspek sejarah, hukum dan linguistik, sudah selayaknya ia duduk di posisi terdepan.

“Saya sarankan seluruh masyarakat bekerjasama dengan kerajaan untuk terus memperkasakan dan membela Bahasa Indonesia.”

Ismail baru-baru ini mencadangkan supaya Malaysia dan Indonesia bekerjasama dalam mengangkat martabat Bahasa Melayu untuk menjadikannya bahasa rasmi Asean.

Beliau berkata, bahasa tersebut mempunyai kira-kira 300 juta penutur, termasuk di Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Filipina, Kemboja, Laos, Vietnam, Myanmar dan Timor-Leste.

Nadiem berkata, kedudukan Bahasa Indonesia lebih baik untuk dijadikan bahasa rasmi Asean kerana ia bukan sahaja menjadi bahasa pertuturan terbesar di rantau ini, tetapi juga digunakan di 47 negara.

Ia turut diajar sebagai mata pelajaran di sejumlah universiti berkelas dunia di Eropah, Amerika Syarikat dan Australia selain institut pengajian tinggi terkemuka lain di Asia, katanya.

“Bahasa Indonesia telah menjadi bahasa yang diakui di peringkat antarabangsa dan (sewajarnya) menjadi bahasa pengantar untuk mesyuarat rasmi Asean,” tambah Nadiem.
Sementara itu, ketua agensi pembangunan Bahasa Indonesia, Endang Aminudin Aziz berkata, terdapat banyak perbezaan antara bahasa tersebut dan Bahasa Melayu.

Katanya, “kefahaman bersama” Bahasa Indonesia lebih luas berbanding Bahasa Melayu, sambil menambah, Bahasa Melayu diklasifikasikan sebagai “bahasa daerah yang dituturkan di kawasan tertentu sahaja”.

“Status Bahasa Indonesia adalah bahasa kebangsaan, jadi dituturkan banyak orang. Jadi mahu tidak mahu, bahasa Jawa, Sunda menyerap istilah daripada Bahasa Indonesia. Bahasa Melayu di Riau pun banyak menyerap kosakata Bahasa Indonesia,” katanya kepada portal berita Indonesia, Detik.com.

Aminudin berkata, Bahasa Indonesia berbeza dengan Bahasa Melayu kerana perbendaharaan katanya telah diperkaya dengan pengaruh bahasa Belanda, Portugis, Inggeris, Jepun, Perancis, Turki dan Korea yang menghasilkan 718 dialek di Indonesia.

“Bahasa Indonesia dituturkan oleh 279 juta orang di negara ini. Selain itu, terdapat 80,000 pelajar di pelbagai kolej di 40 negara yang mempelajarinya,” katanya.

 

(Visited 862 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button