Politik

Jimmy Palikat jadi calon PRN Sabah: Antara hasrat peribadi, bapa atau pengundi

MENJADI calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebenarnya hasrat siapa? Hasrat peribadi atau masyarakat setempat yang menjadi pengundi.

Persoalan itu kalau dibangkitkan agak sensitif kerana ada yang akan salah anggap. Cuma apabila manifesto parti yang bertanding pun tiada sehingga ke hari ini, apakah manifesto calon-calon bebas yang bertanding?

Maksudnya di sini ialah calon yang tidak bertanding atas logo parti-parti yang gah yang dibawahnya, ada parti-parti komponen.

Artis menjadi calon pilihan raya bukanlah suatu yang aneh atau pelik. ‘Hak’ untuk menjadi calon pilihan raya juga tidak semestinya terletak di tangan seorang orang politik.

Bagi kalangan artis yang bertanding pada pilihan raya, kehadiran mereka sebagai calon sebenarnya mengundang pandangan yang skeptikal.

Mencalonkan diri untuk menjadi wakil rakyat bukanlah suatu yang ringan kerana tugas dan tanggungjawab yang bakal dipikul, perlu selari dengan misi dan visi untuk membantu rakyat.

Masalahnya ahli politik yang menang pilihan raya pun tidak mampu untuk menggalas sepenuhnya amanah yang dipertanggungjawabkan oleh pengundi yang memilih mereka.

Apatah lagi artis…kalau menang bertanding dalam pilihan rayalah. Setakat ini, artis jadi calon, undi yang diraih – ‘sedih’.

PRN Sabah ke-16 menyaksikan penyanyi Jimmy Palikat menjadi calon. Itu adalah hasrat Jimmy yang dirasakan dirinya popular atau femes dalam kalangan rakyat di negeri kelahirannya.

Kisah sedih yang dibawa oleh Jimmy, dua hari lalu, ayahnya meninggal dunia. Itu boleh dijadikan modal berkempen tetapi Jimmy memerlukan ‘modal’ kempen yang lebih ‘ummph’ untuk meraih undi.

Pagi tadi, semua calon menghantar borang pencalonan masing-masing di pusat-pusat penamaan calon.

Memetik laporan FMT, Jimmy tiba di pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Tambunan kira-kira pukul 8.30 pagi dan menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 9.15 pagi.

Dalam temubual bersama wartawan, Jimmy mengakui, dia menjadi calon kerana itu juga adalah hasrat bapanya.

Jadi, kita akur dan terimalah yang Jimmy Palikat menjadi calon pada PRN Sabah kerana hasratnya dan menyampaikan hajat atau hasrat bapanya.

Kata Jimmy lagi, bapanya juga memberi restu kepadanya untuk menjadi calon cuma dia agak terkilan kerana bapanya tidak sempat untuk melihatnya menghantar borang pencalonan.

“Sebelum beliau pergi, ketika berada di hospital, saya berulang kali berbisik kepadanya supaya bertahan tetapi mungkin ini sudah takdir.

“Saya akan teruskan niat ini walaupun dia (bapa) sudah tiada, namun inilah (saya menjadi calon) juga adalah hasrat dia (bapa),” katanya.

Jimmy berkata, keluarganya terutama adik beradiknya tidak menghalang keputusannya untuk menjadi calon kerana mereka tahu , dia mendapat restu daripada bapa mereka.

“Mereka semua faham dan memberi dorongan kepada saya, mudah-mudahan semuanya dipermudahkan.

“Kalah atau menang adalah perkara kedua bagi saya ketika ini, namun saya tetap akan mencuba yang terbaik.

“Buat masa ini saya akan berkabung beberapa hari dulu berikutan pemergian bapa dan selepas itu barulah saya akan mula berkempen,” katanya lagi.

Jimmy yang merupakan calon Bebas dijangka menghadapi laluan sukar di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan apabila berdepan pertandingan 6 penjuru.

Jimmy akan menentang Presiden STAR, Jeffrey Kitingan, Laurentius Nayan Yambu (Upko), Sylvernus Bruno (PBS), Damian Richard Marcus Podtung (Parti Cinta Sabah) dan Nordin Jani (Parti Gagasan Rakyat Sabah). – SM

(Visited 374 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button