Nasional

32 pegawai JPJ antara 44 individu ditahan libatkan rasuah RM1.64 juta

SEBANYAK 32 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) antara 44 individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan rasuah berjumlah RM1.64 juta.

Selain pegawai JPJ, turut ditahan ialah anggota dan bekas polis trafik serta orang awam yang dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal.

Menurut sumber, tangkapan tersebut dilakukan menerusi satu operasi besar-besaran yang dikenali sebagai Ops Sukat di lima negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka.

Difahamkan, pegawai JPJ tersebut melibatkan pelbagai gred termasuk pegawai kanan manakala orang awam pula merupakan proksi.

“Antara modus operandi yang dikesan ialah pegawai-pegawai berkenaan tidak akan mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang telah melakukan kesalahan jalan raya setelah menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi atau proksi secara bulanan.

“Mereka dipercayai menerima kira-kira RM150 hingga RM3,000 sebulan dengan nilai keseluruhan melibatkan kira-kira RM1.64 juta.

“Perbuatan ini dipercayai dilakukan sejak 2019 hingga 2020,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhajaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkaitan operasi tersebut.

Beliau berkata, operasi tersebut merupakan hasil kerjasama antara SPRM dan JPJ khususnya Ketua Pengarah dan Bahagian Integriti JPJ dalam usaha meningkatkan integriti jabatan tersebut.

“Ketika ini siasatan masih lagi berjalan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa lagi siri tangkapan.

“Objektif siasatan ialah tertumpu kepada kesalahan rasuah di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 dan melibatkan isu salah laku. Kita cuba untuk lakukan siasatan secepat mungkin,” katanya. -SM

(Visited 269 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button