Nasional

Badan pelancongan gesa kerajaan tangguhkan kemasukan pelancong dari China

Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menggesa kerajaan menangguhkan sementara kemasukan pelancong dari China ke negara itu sehingga kes harian Covid-19 di China menurun.

Presidennya Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata peningkatan ketara dalam jumlah kes Covid-19 di China baru-baru ini meningkatkan potensi varian baharu virus itu muncul, sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada rakyat Malaysia, khususnya industri pelancongan.

“Kita semua sedar bahawa hospital di seluruh China menghadapi letupan kes Covid-19 berikutan keputusan Beijing untuk menarik balik peraturan ketat mereka.

“Trauma yang dihadapi oleh industri pelancongan akibat wabak Covid-19 masih belum selesai, malah banyak agensi pelancongan dan hotel telah ditutup akibat virus itu yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit sejak dua tahun lalu. “ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Mohd Khalid berkata beliau berharap ia tidak berulang memandangkan pemain industri pelancongan masih dalam proses pemulihan.

Beliau berkata, banyak negara luar mengetatkan kemasukan pelancong atau ahli perniagaan dari China buat masa ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di negara mereka.

Beliau turut menasihati pemain industri supaya mengalihkan tumpuan mereka kepada pelancong dari Timur Tengah dan Eropah tanpa bergantung kepada pelancong dari China buat masa ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Malaysia akan menyaksikan lonjakan permintaan penerbangan berikutan pembukaan semula sempadan China, yang akan dilaksanakan oleh kerajaannya pada 8 Jan selepas hampir tiga tahun akibat pandemik Covid-19.

 

(Visited 214 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button