Pembaca

Badan Peguam Yang Membisu: Ke Mana Hilangnya Prinsip Keadilan?

Keheningan mengejutkan daripada Badan Peguam Malaysia berkenaan seruan seorang peguam kanan tersohor untuk seorang Hakim Mahkamah Persekutuan meletakkan jawatan adalah suatu perkara yang amatlah sukar diterima. Seruan ini bukan sahaja tidak berasas, malah menimbulkan persoalan terhadap prinsip keadilan dan integriti badan kehakiman yang sepatutnya dipertahankan oleh Badan Peguam.

Perlunya Badan Peguam Bertindak

Selaku institusi yang sepatutnya mempertahankan keluhuran undang-undang, Badan Peguam seharusnya dan sewajarnya melindungi ahli badan kehakiman, terutamanya seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang kini menjadi sasaran dan diserang secara tidak wajar.

Ironinya, serangan ini datang daripada seorang peguam kanan yang seharusnya memahami etika dan batasan dalam menzahirkan pandangan beliau. Persoalan kini timbul, mengapa Badan Peguam diam seribu bahasa? Di manakah prinsip keadilan yang sering diperjuangkan oleh Badan Peguam sebelum ini terutamanya dalam mempertahankan institusi kehakiman di negara ini?

Sudahkah Badan Peguam lupakan isu yang serupa sebelum ini apabila seorang hakim diserang oleh peguam yang sama tetapi Badan Peguam ketika itu begitu lantang mempertahankan hakim tersebut? Namun, kini Badan Peguam tidak mengeluarkan sebarang kenyataan pun untuk melindungi Hakim Mahkamah Persekutuan tersebut. Adakah Badan Peguam memilih bulu berkenaan siapa yang mereka ingin pertahankan?

Seruan Tidak Wajar dan Pra-matang

Hakikatnya, isu yang menjadi pertikaian ini masih sedang dibicarakan di hadapan Mahkamah. Maka, adalah tidak wajar dan pra-matang untuk mana-mana pihak membuat seruan agar seorang hakim meletakkan jawatan, apatah lagi apabila hakim tersebut terikat dengan Kod Etika Hakim yang menghalang beliau daripada memberikan komen terbuka.

Adakah perkara ini adil? Amat mengecewakan apabila seorang peguam kanan tersohor yang sudah tentu mempunyai pengetahuan berkenaan Kod Etika Hakim ini, seolah-olah mengambil kesempatan ke atasnya dengan menyerang seorang hakim apabila mengetahui hakim tersebut tidak mempunyai saluran untuk mempertahankan diri beliau.

Lebih teruk lagi, Badan Peguam sendiri seolah-olah juga mencabar keputusan Lembaga Pengampunan dan telah pun membuat keputusan awal (pre-judged) ke atas isu ini tanpa membenarkan isu ini ditentukan secara bebas oleh institusi kehakiman negara.

Persoalan-Persoalan Berbangkit Berkaitan Adendum

Isu yang timbul di sini adalah amat mudah iaitu sama ada adendum yang sering diperkatakan ini wujud atau pun tidak. Sekalipun adendum tersebut wujud, terdapat persoalan yang lebih besar yang perlu dijawab iaitu berkenaan kesahihan adendum tersebut di sisi undang-undang.

Adendum tersebut dikatakan mengandungi syarat “penahanan rumah” (house arrest). Daripada isu “penahanan rumah” ini sahaja menimbulkan pelbagai lagi soalan-soalan lain yang lebih serius. Penulis tidak berniat untuk memberikan terlalu banyak persoalan tetapi cukup dengan lima persoalan serius berikut yang perlu difikirkan: –

  1. Mengapa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) terdahulu tidak bertanyakan kepada kerajaan atau Jabatan Peguam Negara, mengapakah adendum tersebut tidak dikuatkuasakan secara serta merta, sebaik sahaja pengumuman berkenaan pengampunan kepada Najib Razak dibuat?
  1. Mengapakah salinan adendum tersebut atau surat yang mengesahkan kewujudan adendum tersebut diberikan kepada anak Najib Razak, sedangkan Najib Razak adalah pihak yang membawa tindakan undang-undang terhadap kerajaan?
  1. Mengapakah peguam yang mewakili Najib Razak tidak menulis terus kepada YDPA terdahulu untuk mendapatkan pengesahan berkaitan adendum tersebut?
  1. Bilakah Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan ditandatangani? Adakah pada 29 Januari 2024 atau selepas pengumuman berkenaan pengampunan kepada Najib Razak dibuat?
  1. Adakah adendum tersebut direkodkan di dalam Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut? Atau adakah adendum tersebut hanya tersedia atau ditandatangani selepas mesyuarat Lembaga Pengampunan selesai?
  1. Adakah adendum tersebut sah di sisi undang-undang atau melangkaui kuasa Lembaga Pengampunan (yang dipengerusikan oleh YDPA) di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan?
  1. Adakah Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana peruntukan undang-undang lain di negara ini membenarkan konsep “penahanan rumah”?
  1. Adakah “penahanan rumah” ini akan mewujudkan pembukaan ruang tanpa kawalan (opening the floodgates) apabila pesalah-pesalah lain akan turut memohon perkara yang sama kelak?

Persoalan-persoalan yang dibangkitkan ini akan memberikan impak yang serius kepada sistem undang-undang di negara ini dan ia hanya boleh diputuskan melalui prosiding mahkamah.

Lebih-lebih lagi, apabila isu ini turut melibatkan institusi diraja di mana mereka juga terkekang daripada memberikan komen terbuka. Oleh itu, prosiding mahkamah bagi menentukan perkara ini lebih molek jika dibuat secara tertutup dan penuh kerahsiaan agar tiada mana-mana pihak yang cuba menyerang pula institusi diraja ini. Dalam erti kata lain, isu-isu sensitif yang melibatkan 3R (dalam kes ini, isu yang melibatkan institusi diraja) seharusnya dan sewajarnya dilindungi dan dipertahankan oleh kerajaan.

Justifikasi Gag Order

Lanjutan daripada di atas, dalam suasana di mana setiap individu bebas memberikan pendapat (sering kali melangkaui batas), langkah Jabatan Peguam Negara yang memohon perintah larangan (gag order) adalah wajar.

Tanpa gag order ini, peguam kanan yang memberikan kenyataan terbuka dan berat sebelah dalam media, tanpa menghormati prinsip keadilan, hanya akan menambahkan kekeliruan kepada masyarakat dan memprejudiskan bukan sahaja kepada badan kehakiman malah kepada institusi diraja.

Tahniah kepada Jabatan Peguam Negara kerana tegas mempertahankan permohonan tersebut walaupun berhadapan dengan kritikan hebat. Ini adalah amat penting bagi memastikan proses undang-undang tidak dicemari oleh kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab bukan sahaja oleh orang awam tetapi lebih menyedihkan, diapi-apikan oleh peguam kanan tersohor.

Soalan kepada Badan Peguam

Kini timbul soalan kepada Badan Peguam.

Sekiranya mahkamah memihak kepada kerajaan, adakah Badan Peguam akan mengambil tindakan terhadap peguam kanan tersebut yang bukan sahaja mencabar badan kehakiman dan institusi diraja, malah turut mencabar Perlembagaan Persekutuan? Atau, adakah Badan Peguam akan terus membisu seribu bahasa?

Kesimpulan

Kesimpulannya, mana-mana pihak tidak sewajarnya melihat isu ini sekadar suatu pertikaian undang-undang semata-mata. Sebaliknya, isu di sini adalah lebih besar kerana ia melibatkan integriti institusi kehakiman dan keyakinan terhadap sistem keadilan serta raja berperlembagaan di negara ini.

Segala persoalan mengenai adendum, Lembaga Pengampunan dan tindakan peguam kanan tersebut hanya boleh dijawab melalui prosiding mahkamah. Badan Peguam perlu tampil ke hadapan, bukan hanya untuk mempertahankan prinsip keadilan tetapi juga untuk memastikan semua pihak mematuhi etika dan undang-undang terutamanya oleh para peguam.

Tindakan berdiam diri Badan Peguam kini hanya mengundang persoalan. Adakah Badan Peguam benar-benar memperjuangkan keadilan atau hanya memilih isu-isu tertentu atas dasar populis semata-mata?

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button