Nasional

Perkeso tarik balik syarat baru kelayakan dialisis kepada pencarum

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) menarik balik serta merta arahan syarat rawatan dialisis percuma terikat kepada tempoh dan jumlah caruman yang dikuatkuasakan sejak 10 Januari lalu.

Perkeso berkata, penarikan balik arahan itu membolehkan kesemua pencarumnya yang layak, termasuklah penerima bantuan ilat menerima kemudahan bantuan dialisis secara percuma seperti mana sebelum ini.

“Selepas mempertimbangkan kebajikan pencarum dan saranan daripada (Yang Berhormat) Menteri Sumber Manusia, Lembaga Perkeso mengambil keputusan untuk menarik balik arahan itu,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Melalui Arahan AKSP Bil. 1/2020 yang berkuatkuasa pada 10 Januari lalu, kemudahan dialisis perlu mengikut syarat baharu kelayakan caruman yang ditetapkan.

Bagaimanapun ia dibantah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menggesa Perkeso menarik balik syarat baru yang akan mengehad atau menafikan pencarum daripada rawatan dialisis percuma kerana langkah itu disifatkan tidak berperikemanusiaan.

Setiusaha Agung MTUC, J Solomon berkata, tindakan Perkeso meminda syarat kelayakan itu akan menjejaskan penerima dan pencarum baru menghidap kegagalan ginjal kronik yang berdaftar di bawah Skim Pencen Ilat, Bantuan Ilat serta Insuran Bencana Pekerjaan.

Di bawah syarat baru yang dikuatkuasakan sejak 10 Jan lalu itu, kelayakan pemohon untuk mendapat rawatan dialisis percuma terikat kepada tempoh dan jumlah caruman mereka kepada Perkeso.

“Dengan mengetatkan kriteria kelayakan, Perkeso mengehad dan dalam sesetengah kes menolak pencarum serta penerima yang menghidap penyakit ginjal tahap akhir daripada rawatan dialisis percuma,” katanya.

Beliau berkata, golongan paling terjejas ialah pemohon baru di bawah Skim Bantuan Ilat yang langsung tidak akan mendapat rawatan dialisis percuma kerana tidak memenuhi syarat minimum baru.-SM

(Visited 397 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button