Politik

Baca laporan statistik Covid, budak pejabat pun boleh buat – Tiong

Dewan Rakyat berlangsung tegang tengah hari tadi apabila Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing menghentam Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dengan menyifatkan Ketua Pengarah Kesihatan hanya mencari publisiti, tetapi takut untuk turun padang.

Pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP) itu berkata, Dr Noor Hisham hanya membuat siaran langsung Covid-19, namun tidak berani ke hadapan membantu memerangi wabak tersebut terutama di Sabah.

Menurut Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) tersebut, dalam keadaan pasukan petugas kesihatan dihantar ke kawasan-kawasan berisiko, Noor Hisham dan timbalannya pula sama sekali tidak turun padang melawat situasi di sana.

“DG hari-hari buat berita sahaja, bikin apa? Kalau buat berita, bagi office boy dia baca. Kenapa dia tak turun padang. Macam Sabah sekarang, begitu hebat Covid-19. Kenapa dia tak turun melawat tiap-tiap hospital.

“Pergi tengok, berbincang bagi sokongan moral kepada petugas barisan hadapan. Jangan hantar sahaja doktor dan jururawat pergi, (mereka) tak takut mati tapi DG takut mati,” katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat tadi.

Keceluparan mulut Tiong yang juga Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke Republik Rakyat China bertaraf menteri itu mencetuskan kemarahan beberapa Ahli Parlimen yang memintanya menghormati pegawai kerajaan dan tidak mengkritik Noor Hisham.

Paling lantang, RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bangkit membantah serangan tersebut dan mendesak Tiong memohon maaf.

“Saya minta Bintulu tarik balik kenyataan DG. DG adalah petugas barisan hadapan. Jangan kurang ajar. Jangan hina pegawai kerajaan,” katanya.

Pertikaman lidah antara dua Ahli Parlimen terbabit berlangsung lebih lima minit dengan mereka saling menjerit.

Ekoran itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat meminta Rayer meninggalkan Dewan apabila Rayer gagal bertenang dan terus membangkitkan kekecohan.

Sebelum itu, Tiong menyifatkan Kementerian Kesihatan (KKM) semakin menampakkan kelemahan apabila tiada tindakan berkurung untuk kawasan-kawasan yang menyebabkan wujudnya kluster.

Disebabkan itu, beliau mengkritik tindakan Noor Hisham yang seolah-olah tidak melakukan apa-apa sehingga akhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasa.

Sementara itu, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berdiri dan menegaskan, dalam apa-apa perbahasan, tidak boleh disebutkan kelakuan atau sifat siapa-siapa Ahli Parlimen atau siapa-siapa pegawai kerajaan.

Tiong kemudian mempertahankan kenyataannya dan mendakwa petugas barisan hadapan sendiri mempersoalkan mengapa Pengarah Kesihatan tidak hadir memantau situasi di sana.

(Visited 179 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button