Berita

Babi liar di Melaka makin kurang

MELAKA 2 Feb. – Jumlah populasi babi hutan atau spesis Sus scrofa di Melaka makin berkurangan sejak dua tahun lalu hasil daripada operasi berterusan memusnahkan haiwan tersebut.

Dakwaan peningkatan haiwan liar itu yang sering mengganggu penduduk dan memusnahkan tanaman sejak belakangan ini adalah tidak benar, kata Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka, Mohd. Firdaus Mahmood.

Menurutnya, sejak dua tahun lalu, kakitangan Perhilitan negeri menjalankan operasi pemantauan dan menghapuskan haiwan tersebut secara berterusan sepanjang Januari hingga Disember di seluruh daerah di
negeri ini.

Menurutnya, sejak tahun 2020 sebanyak 1,240 ekor haiwan liar itu dihapuskan manakala sebanyak 1,287 ekor lagi pula pada tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah tersebut Melaka Tengah merekodkan jumlah tertinggi haiwan itu dimusnahkan apabila sebanyak 582 ekor pada tahun 2020 dan sebanyak 515 ekor pula dicatatkan tahun lalu.

“Selain Melaka Tengah, operasi menghapus haiwan liar itu turut dijalankan di Jasin dengan 426 ekor dicatat pada tahun 2020 manakala sebanyak 229 ekor pada tahun lalu.

“Begitu juga operasi yang dilaksanakan di Alor Gajah apabila 232 ekor dihapuskan pada tahun 2020 dan sebanyak 543 ekor tahun lalu.

“Hasil daripada operasi tersebut kehadiran babi hutan yang sering mengganggu penduduk dan memusnahkan tanaman dilihat semakin berkurangan populasinya di negeri ini,” ujarnya.

Mohd. Firdaus berkata, beberapa aduan yang diterima pihaknya awal tahun ini khususnya di Kampung Kelongkong, Tanjong Keling baru-baru ini adalah saki baki binatang liar itu yang telah dihapuskan tahun lalu melibatkan sebanyak 48 ekor.

Beliau turut menasihatkan penduduk yang sering melihat kemunculan haiwan itu agar tidak membuang sisa-sisa makanan di luar rumah kerana ia menarik minat binatang tersebut yang keluar mencari makan.

Kebiasaannya kata beliau, haiwan tersebut jarang-jarang keluar daripada habitat di dalam hutan melainkan binatang liar itu terhidu bau makanan.

“Kalau boleh buanglah sisa makanan di tong sampah atau menanamnya dan jangan sesekali melonggokkan sisa makanan seperti tempat sampah,” ujarnya.

Ditanya usaha Perhilitan memusnahkan haiwan itu yang mengganggu penduduk Kampung Kelongkong dan Kampung
Balik Bukit, Tanjong Kling beliau berkata, usaha untuk memusnahkannya masih menemui kegagalan.

Jelasnya, jika gagal menembak binatang liar itu pihaknya akan memasang perangkap tidak lama lagi.

(Visited 284 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button