Kemalangan

Pelajar OKU maut motosikal bertembung kereta

Seorang pelajar sekolah yang juga orang kurang upaya (OKU) maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Klebang Besar, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.25 pagi itu, mangsa Muhammad Faizal Yahaya, 17, disahkan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila mangsa, OKU pembelajaran dalam perjalanan dari arah Klebang menghala ke Batang Tiga.

“Sejurus tiba di tempat kejadian, motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Kuala Sungai Baharu, Alor Gajah itu dipercayai memasuki laluan bertentangan.

“Akibatnya, mangsa bertembung dengan kereta jenis Toyota Vios dipandu lelaki berusia 35 tahun menyebabkannya mangsa di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak cedera,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat manakala kenderaan terbabit dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, polis juga sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan dan notis Pol.61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SM

(Visited 35 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button