AgamaNasional

Pertukaran mata wang, cukai nilai tambah faktor kos haji naik

PERTUKARAN mata wang, kesan daripada wabak Covid-19 dan cukai nilai tambah (VAT) menjadi antara faktor menyumbang kepada peningkatan kos haji tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.

Bagaimanapun, katanya, kenaikan kos haji kali ini wajar dan masih berpatutan berikutan kos ditanggung oleh Lembaga Tabung Haji (TH) semakin bertambah pada masa ini.

“Jika melihat pada perkembangan ekonomi dunia, kita terpaksa meningkatkan kos itu, namun TH dan kerajaan cuba memastikan kos ditanggung para jemaah tidak membebankan, selain turut memberikan bantuan kewangan sangat besar kepada para jemaah tahun ini.

“Dalam kalangan B40, Tabung Haji memberikan peruntukan lebih 63% dibantu lagi dengan RM1,000, manakala untuk M40 42%. Ini menunjukkan bagaimana kerajaan dan TH berusaha bantu meringankan beban jemaah tahun ini,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Kursus Asas Haji dan Kenduri Masjid 2024 di Masjid Qaryah Paroi Jaya hari ini.

Jumaat lepas, TH mengumumkan kos haji Muassasah tahun ini ditetapkan pada RM33,300 seorang, berbanding RM30,850 tahun lepas.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman berkata, kadar bayaran bagi jemaah haji kali pertama dari kumpulan B40 ditetapkan pada RM12,356, manakala bagi M40 sebanyak RM19,152.

Jemaah haji T20 pula perlu membayar kos penuh, iaitu RM33,300 seorang.

Sementara itu, Hamidah Payun, 61, yang akan menunaikan haji tahun ini berkata, keputusan TH dan kerajaan menaikkan kos haji pada tahun ini wajar, memandangkan pelbagai kos semakin meningkat setiap tahun.

“Pada saya, kenaikan kos itu tidak menjadi masalah dan masih berpatutan. Kalau kita lihat sekarang semua kos meningkat, jadi wajarlah ada peningkatan,” katanya yang menabung di TH sejak 2008.

Pesara swasta, Zulkifli Dahlan, 60, berkata beliau telah menjangkakan kos haji meningkat tahun ini memandangkan kerana kos untuk menunaikan ibadah umrah juga meningkat sejak beberapa tahun ini.

“Dulu, saya pergi umrah pada 2019, kosnya RM6,000 kemudian saya pergi lagi tahun lepas, (kos) telah naik RM8,500.

“Jadi (peningkatan kos) bukan suatu isu, memang akan berlaku. Saya rasa di negara lain, kosnya lagi tinggi,” katanya. – SM

BACA Bayaran tunai haji B40 RM12,356, M40 RM19,152

BACA Andalusia Travel lancar Pakej Haji 1445H dan Brosur Andalusia 2024/2025-1446H

(Visited 52 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button