Nasional

MCMC tutup akaun Twitter, dakwa diceroboh

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) iaitu badan yang mengawal selia bagi industri komunikasi dan multimedia telah menutup akaun Twitter rasminya malam ini.

Sebelum dinyah aktifkan, Twitter rasmi MCMC iaitu @SKMM_MCMC mempunyai lebih daripada 70,000 pengikut.

Ketika ini tanda pagar MCMC menjadi trending di media sosial itu, dengan lebih 21,000 ciapan berkaitan Twitter MCMC.

Sebilangan besar pengguna berkongsi tangkapan skrin mengenai ciapan lama dari akaun rasmi MCMC yang kebanyakannya dari tahun 2014.

Tangkapan skrin tersebut menunjukkan perbualan yang mengunakan bahasa kesat dan menyinggung perasaan.

Terdapat pengguna Twitter mendakwa, akaun itu merupakan akaun peribadi sebelum dijual kepada pihak lain.

Sementara itu MCMC dalam kenyataan rasmi berkata, akaun Twitter rasminya telah diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Susulan itu, akaun Twitter rasmi Suruhanjaya @SKMM_MCMC berkenaan telah digantung buat sementara waktu.

“Orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan hantaran-hantaran mesej yang mencurigakan, jelik dan bersifat fitanah yang telah dimuat naik melalui akaun berkenaan, yang bukan dikeluarkan oleh pihak MCMC,” kata Jabatan Komunikasi Korporat MCMC.

MCMC diwujudkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mengetengahkan prinsip asas ketelusan dan kejelasan, menggalakkan persaingan dan kawal selia kendiri, fleksibiliti dan cenderung ke arah peraturan prinsip umum.

Akta tersebut bertujuan untuk menyediakan satu set peruntukan pengawalseliaan yang berdasarkan definisi generik pasaran dan aktiviti industri komunikasi dan multimedia.-SM

 

(Visited 326 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button