
Azizan Osman akan jelas isu disaman bekas rakan kongsi
KUALA LUMPUR: Mentor usahawan Datuk Dr. Azizan Osman berkata, beliau akan mengadakan sidang akhbar khas bagi menjelaskan isu diperkatakan berhubung beliau, iaitu disaman oleh bekas rakan kongsinya.
“Kami tahu apa yang sedang berlaku. Tapi fokus kami tetap satu, membantu ubah hidup orang ramai.
“Saya dan seluruh Team RichWorks amat sedar dan mengambil serius isu yang sedang hangat diperkatakan di media sosial sejak semalam,” katanya dalam hantaran ke media sosial miliknya.
Sebagai manusia, kata Azizan, beliau faham, pelbagai persoalan dan persepsi boleh timbul dan beliau memilih untuk bertenang dan menguruskan situasi mengikut proses undang-undang.
“Namun buat masa ini, kami sedang memikul satu amanah besar, membantu ribuan peserta dari pelbagai latar belakang; termasuk ibu tunggal, pelajar, pekerja makan gaji, dan usahawan dari seluruh negara dalam program Transformasi360, sebuah program pembangunan diri dan bisnes yang direka untuk bantu mereka bangkit, berubah, dan mencipta kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Sebagai tanda hormat kepada semua yang menanti penjelasan, kata Azizan, beliau akan tampil dan berkongsi secara rasmi dalam satu sidang media khas yang akan diumumkan tarikhnya tidak lama lagi.
“Sampai masa itu, saya harap semua dapat beri ruang. Dan seperti selalu, kami hargai setiap sokongan, doa dan kepercayaan yang anda berikan,” katanya.
Semalam Suara Merdeka melaporkan bekas rakan kongsi Azizan telah memfailkan saman dengan menuntut ganti rugi sebanyak RM24 juta.
Zafrol Rizal Mat, bekas rakan kongsi Datuk Dr. Azizan Osman yang menubuhkan RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) (RASB) menyaman individu berkenaan bersama dua lagi pengarah syarikat terbabit.
BACA BERITA BERKAITAN: Bekas rakan kongsi saman Dr. Azizan