NasionalNegeri

Lelaki “wanted” sorok ganja bawah tempat duduk motosikal ditahan

SUSPEK “wanted” akhirnya berjaya ditahan.

Lelaki tempatan berusia 26 tahun ini sedang dicari pihak polis bagi kes Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 juga mempunyai empat rekod lampau berkaitan narkotik.

Mohd Shokri menunjukkan bahagian bawah tempat duduk motosikal yang diletakkan ketulan mampat daun kering yang dipercayai ganja seberat dua kilogram oleh suspek.

Bagaimanapun kali ini suspek telah ditahan bersama dengan dua bungkusan ketulan mampat daun-daun kering yang dipercayai ganja seberat dua kilogram bernilai RM6,200.

Dua bungkusan mampat itu telah diletakkan pada bahagian bawah tempat duduk motosikal yang ditunggangnya.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Assisten Komisioner, Mohd Shokri Abdullah berkata, barang terlarang ini telah ditemui apabila suspek memberhentikan motosikalnya di kawasan sebuah inap desa di Kampung Kubang Tiga pada pukul 2.45 petang semalam (12 Julai) untuk tujuan pemeriksaan.

Ketulan mampat daun kering dipercayai ganja seberat dua kilogram ditahan bersama suspek “wanted” oleh pihak polis.

“Tangkapan ini adalah hasil dari Ops Tapis Semalaysia selama tiga hari mulai 10 Julai lalu yang melibatkan seorang pegawai dan lapan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar,” katanya pada sidang media di IPD Padang Besar petang ini.

Beliau berkata, suspek dipercayai menyeludup bahan terlarang ini dengan menggunakan jalan tikus di sempadan Malaysia-Thai.

“Suspek ini mempunyai dua isteri iaitu seorang di Malaysia dan seorang lagi di Thailand,” katanya.

Katanya ujian saringan ke atas suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Mohd Shokri berkata, kes disiasat dibawah pindaan Seksyen 39B (2) ADB 1952, mana-mana orang yang disabitkan dengan pengedaran dadah berbahaya hendaklah dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup yang mana pesalah juga boleh dikenakan hukuman sebatan.

Katanya, suspek ditahan reman selama seminggu dari 13 hingga 19 Julai.

Mohd Shokri berkata, pihaknya juga akan terus fokus untuk memastikan keselamatan dan kententeraman awam terkawal.

Pihak polis memerlukan kerjasama masyarakat setempat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah pada IPD Padang Besar di talian hotline +60 4942222. – SM

(Visited 201 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button