Nasional

Sumbang Kepada Masjid Dengan Barangan Kitar Semula – Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah dan menyarankan agar masyarakat di negeri ini menyalurkan sumbangan mereka kepada pihak masjid melalui penjualan barangan kitar semula kepada pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Barangan boleh kitar semula yang dikumpulkan oleh masyarakat di masjid-masjid ini dapat dijual dan hasil daripada penjualan tersebut boleh digunakan untuk manfaat pembangunan masjid. Ini merupakan antara bentuk amal jariah yang boleh dipraktikkan melalui penjualan barangan kitar semula.

“Pelaksanaan kitar semula atau 3R perlu dijadikan ‘budaya’ kelaziman baharu oleh masyarakat apatah lagi kesempatan berada di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan wabak Covid-19 ini harus diguna bagi memupuk amalan membuang sikap terlalu sayang kepada barang-barang yang tidak lagi diperlukan sedangkan tiada tempat sesuai untuk disimpan dengan baik di rumah masing-masing,” tegas baginda.

Selain menjadi sumber baharu pendapatan masjid, amalan ini akan dapat mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan mendokong aspirasi penjagaan alam sekitar.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, kita perlu memotivasikan ahli keluarga berkaitan amalan kebersihan dan memupuk budaya kitar semula dengan sama-sama mengasingkan barangan yang boleh dikitar semula serta mengasingkan sisa pepejal dan sisa makanan untuk dijadikan baja kompos termasuk minyak masak terpakai yang boleh dijual dan diguna kembali.

Baginda bertitah demikian sempena Ulang Tahun Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Ke-12 yang jatuh pada hari semalam iaitu 1hb Jun 2020 dengan mengajak rakyat di negeri ini untuk sama-sama menyahut slogan SWCorp untuk bersama-sama menjadikan Malaysia ke arah negara yang ‘Bersih, Infah dan Sejahtera’.

Turut hadir ialah Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Wan Ahmad Fazli Wan Kamis dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Gambar fail

Pengarah SWCorp Negeri Perlis, Shamsuharizal Basir memaklumkan mengenai perbincangan awal bagi menjayakan kempen ‘Rakyat Perlis Hidup Bersih’ sepertimana yang dihasratkan oleh Tuanku Raja Muda. Buat permulaannya ia bakal dianjurkan secara bersama di antara SWCorp dengan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta beberapa lagi agensi berkemampuan lain yang turut berminat menjalinkan kerjasama tersebut sebelum dikembangkan lagi secara berperingkat kepada fasa-fasa berikutnya.

Menurut Shamsuharizal lagi, beberapa pelan tindakan sedang dirangka untuk menjadikan budaya kitar semula yang bercorak ‘Transformasi Dari Hati Ke Hati’ dapat dilaksanakan oleh masyarakat Perlis sebagaimana yang diamalkan di negara-negara maju yang memerlukan perubahan mentaliti, kesabaran dan juga kemahuan untuk menerima kelaziman baharu.

“Dalam hubungan ini, SWCorp Perlis juga mencadangkan kepada pihak MAIPs untuk menempatkan ‘Sangkar Kitar Semula’ di semua masjid melalui penyelarasan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) yang akhirnya diharap dapat menjadi pemangkin kepada budaya kitar semula di kalangan para penduduk setempat di kariah masing-masing,” tambah beliau.

Selain budaya kitar semula, pengasingan sisa dan sampah juga perlu diterapkan kesedaran di kalangan masyarakat di negeri Perlis ini agar budaya bersih dan hijau ‘Bencikan Kekotoran’ dapat dihayati dan diamalkan oleh setiap seorang ahli masyarakat di negeri ini. – SM

(Visited 478 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button