Nasionalpilihan

Tibi catat kematian penyakit berjangkit tertinggi di Melaka

Jumlah kematian akibat penyakit Tuberkulosis atau tibi di negeri adalah paling tinggi berbanding pesakit HIV kata Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Halimah Syed Sheikh.

Menurutnya, jumlah kematian akibat penyakit berjangkit itu tahun lalu mencecah 50 orang dan angka tersebut juga sama seperti pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, tibi turut mencatatkan penyakit berjangkit tertinggi di negeri ini antara 500 hingga 700 kes direkodkan setiap tahun dan sewaktu wabak Covid-19 jumlah pesakit berkurangan kepada 400 orang.

Jelasnya, jumlah itu sangat membimbangkan apabila jabatan itu menganggarkan seramai 20 orang bagi setiap 100,000 penduduk di negeri ini dijangkiti penyakit berkenaan.

“Tibi adalah penyakit berjangkit yang menyebabkan kematian tertinggi merekodkan 50 kematian setiap tahun melebihi daripada penyakit HIV.

“Penyakit tibi ini masih ada rawatan untuk pulih kalau hendak dibandingkan dengan mereka yang menghidap HIV tetapi penularannya adalah tertinggi termasuk kematian.

“Walaupun tibi mempunyai harapan untuk pulih, namun terdapat kes di negeri ini apabila pesakit termasuk golongan profesional enggan mendapatkan rawatan untuk tempoh ditetapkan,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Tuberculosis Awarenwss Week di
Hospital Oriental Melaka, Limbongan di sini hari ini.

Turut hadir, Pakar Perubatan Respiratori Hospital Oriental Melaka, Dr. Rashidah Yasin.

Mengulas lanjut Halimah berkata, kematian akibat tibi berpunca daripada sikap orang ramai yang tidak ambil peduli dan mereka hanya mendapat rawatan apabila keadaan menjadi serius.

Menurutnya, ada pesakit yang sepatutnya menjalani rawatan antara enam bulan hingga setahun tetapi gagal berbuat demikian selepas pulih tidak lagi meneruskan rawatan.

“Tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan masyarakat terhadap tibi menyebabkan penyakit itu mudah merebak sedangkan rawatan penyakit ini terdapat di semua hospital dan klinik kesihatan di negeri ini,” ujarnya.

Sementara itu Rashidah yang juga pakar penyakit tibi berkata, pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa kesihatan mengenai bahaya wabak tibi tetapi orang ramai masih menganggap ia sebagai satu perkara yang
remeh.

“Orang ramai perlu peka dengan simptom seperti batuk lebih dua minggu, batuk berdarah, susut badan mendadak, hilang selera makan dan demam waktu malam perlu mendapat rawatan lanjut,” katanya. – SM

(Visited 245 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button