Nasional

Ayuh Azam buktikan!…dayung sudah di tangan

KOMENTAR

PELANTIKAN Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya badan itu yang baharu hari ini 9 Mac 2020 ibarat “sirih pulang ke gagang”.

Selaku orang dalam SPRM, beliau dikenali sebagai individu berpengalaman luas, cekap, mengetahui operasi peringkat lapangan dan berdedikasi tinggi serta diyakini memastikan kesinambungan transformasi SPRM.

Ini sekali gus bertindak sebagai ketua yang mampu memberi inspirasi untuk membawa seluruh warga SPRM ke tahap baharu dalam perjuangan membanteras rasuah.

SPRM di bawah Azam perlu memastikan badan itu tidak sahaja bergerak bebas, malah harus kelihatan bebas.

Hal ini penting dalam usaha membebaskan badan pencegah rasuah itu daripada pihak berkepentingan termasuk kerajaan dan politik.

Tempoh hari, Azam yang ditanya dalam satu program sebuah stesen televisyen satelit tentang bagaimana SPRM mahu memastikan pihaknya lebih bebas dalam menjalankan siasatan serta mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit rasuah tanpa campur tangan mana-mana pihak. Dan ini jawab Azam:

“SPRM perlu mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM sendiri untuk membolehkan kita dapat penjawatan kita sendiri. ‘We hire and fire,’ oleh SPRM.

“Mengambil contoh di luar negara, dana yang diperoleh SPRM itu bukan datang dari kerajaan.

“Maka, sekiranya perkara ini boleh dilakukan, kami akan bergerak dengan lebih baik tanpa campur tangan mana-mana pihak,” katanya.

Undang-undang sedia ada sememangnya telah membebaskan SPRM daripada sebarang campur tangan. Namun, tegas Azam, masyarakat perlu faham tentang adanya pembahagian kuasa.

Ini kerana tugas SPRM untuk menjalankan tindakan penyiasatan dan kuasa eksekutif sahaja. Selebihnya pula diberikan kepada kehakiman dan perundangan.

Ketika banyak pihak mempersoalkan kes banglo melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Azam tampil meminta orang ramai tidak keliru dengan peranan SPRM sebagai badan penyiasat rasuah dan tidak bertanggungjawab dalam menentukan kes yang dibicarakan di mahkamah.

Dalam kes Guan Eng yang sebelum ini pernah disiasat ketika kerajaan masih di bawah pimpinan Barisan Nasional, jelas Azam, ia tertakluk kepada penilaian Pendakwa Raya dan Peguam Negara.

“Kes-kes yang ditarik balik adalah berasaskan penilaian Peguam Negara dan Jabatan Peguam Negara. Tak kisahlah siapa pun dia dan bila dia disiasat, SPRM akan menyiasat berdasarkan maklumat yang diperoleh.

“Kita buka kertas siasatan, tetapi sama ada ia akan berakhir dengan pendakwaan atau tidak, ia bergantung kepada dapatan fakta kes.

“Dalam kes Lim Guan Eng, Pendakwa Raya tidak memohon untuk kes ditarik balik, sebaliknya hanya permohonan DNAA atau discharged not amounting to an acquittal (permohonan untuk melepaskan tanpa membebaskan tertuduh). Tetapi mahkamah yang membuat keputusan agar beliau dilbebaskan,” katanya sambil menegaskan, SPRM tidak mempunyai kuasa untuk menarik balik kes.

Penjelasan tersebut dinyatakan beliau ketika ditemu ramah dalam program SPRM 360 di Bernama Radio sebelum ini.

Azam juga tidak berselindung apabila meluahkan kebimbangan berkenaan peningkatan kes rasuah dalam beberapa sektor. Iaitu perolehan, penguatkuasaan dan grand corruption (korupsi di peringkat tertinggi kerajaan yang mengganggu dasar atau fungsi pusat negara).

“Situasi ini akan menyebabkan kesan yang besar dari segi ekonomi kerana akan berlakunya ketirisan. Kerana itu fokus kita sekarang adalah pada kes-kes sebegini dan membabitkan mereka yang mempunyai kuasa.

“Dalam keadaan ekonomi negara sekarang, kita tidak mahu penjenayah-penjenayah ini membuat kerosakan lebih besar,” kata beliau.

Beliau turut mendedahkan sebelum ini analisis SPRM terdapat ramai pegawai kerajaan daripada sektor perolehan dan penguatkuasaan terlibat menerima rasuah berbentuk ‘pakej’ tertentu.

Kebanyakan pakej rasuah yang ditawarkan pihak tertentu berbentuk perkhidmatan hiburan dan seks. Ia datang dalam bentuk pakej hiburan contoh bermain golf dan seks, pergi kelab malam dan pusat karaoke.

Turut termasuk `pakej’ melancong ke luar negara hingga pergi dengan ‘business class’ satu keluarga atas urusan tender dan sebagainya.

Ayuh Azam, dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Buktikan kewibawaan anda membanteras rasuah hingga ke akar umbi. – SM

(Visited 214 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button