Hiburan

Ayu Damit bakal genggam segulung Ijazah

ILTIZAM untuk menggenggam segulung ijazah menjadi pendorong kepada penyanyi, Ayu Damit untuk menyambung pengajiannya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Dengan izin suaminya Syed Fauzi Syed Baharuddin (Poji), Norayu Damit, 32, yang juga merupakan ibu kepada tiga orang cahaya mata, menjadi bertambah bersemangat untuk mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam program Asasi Seni Kreatif.

Memang tidak perlu ada perasaan malu apabila menuntut ilmu kerana tawaran yang diterima oleh Ayu sekitar bulan lepas, telahpun membuatkan Ayu mengikuti kelas sejak 2 Ogos.

Kata Ayu, tawaran menyambung pengajian yang diterimanya adalah satu peluang yang sukar untuk dilepaskan.

“Sebelum mengikuti kelas Asasi Seni Kreatif, saya terlebih dahulu menghadiri sesi temu duga dan syukur, Alhamdulillah, saya diterima.

“Pengajian ini akan mengambil masa selama tiga sementer bersamaan dengan satu tahun tempoh pengajian.
“Insya-Allah, doakan saya mampu menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan dan Allah permudahkan segala-galanya buat saya sekeluarga,” katanya.

Tidak perlu malu mengakui kurang berpengetahuan dan asas dalam hal yang berkaitan dengan muzik, kata Ayu, inilah masanya beliau menggali segala ilmu berkaitan muzik termasuk teknik nyanyian yang betul dan bukannya main hentam kromo.

“Paling tidak pun apabila belajar, ilmu yang dipelajari itu boleh digunapakai dalam kerjaya seni saya selepas ini,” jelas beliau.

Ayu berkata, melanjutkan pengajian adalah satu impian yang dipendamnya selama ini dan merasakan, inilah waktu yang sesuai untuk mengikuti kelas selain menguruskan perniagaan dari rumah.

Sememangnya Poji sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada isterinya dalam apa jua bidang yang menjadi pilihan Ayu.

“Dia (suami) tidak menghalang sebaliknya dialah yang paling banyak memberi kata-kata semangat. Cuma satu sahaja pesannnya, Ayu perlu pandai membahagi masa.

“Iyalah kerana kami suami isteri, sama-sama menjalankan perniagaan dan dia pun tahu yang saya ada beberapa perniagaan lain yang sedang berjalan sekarang,” katanya.

Dalam memastikan perniagaan dalam talian kek pisang Ayu berjalan lancar, termasuk perniagaan menjual bahulu dan cili padi dari ladang yang diusahakan oleh Poji, Ayu juga perlu meluangkan masa dan menguruskan anak-anak. – SM

(Visited 263 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button