Nasional

Mara tingkatkan usaha bantu usahawan Bumiputera

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 18 Jun – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan terus komited dalam memperkasakan usahawan Bumiputera
dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan latihan termasuk pinjaman bagi merangsang sosioekonomi
Bumiputera di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, ecosistem Mara sangat meluas menyediakan bajet yang besar
semata-mata untuk membantu lebih ramai Bumiputera menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Menurutnya, peranan Mara tidak pernah terpesong daripada landasan sebenar membantu melahirkan lebih ramai
usahawan berjaya dalam kalangan Bumiputera meliputi pelbagai bidang perniagaan untuk diceburi.

“Sememangnya fokus utama Mara terhadap isu pemerkasaan usahawan Bumiputera kerana pembabitan aktif dalam
pelbagai sektor mampu menjanjikan perniagaan dijalankan selain dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada
masyarakat.

“Bukan setakat pinjaman tetapi sokongan yang diberikan seperti menyediakan pelbagai kemudahan dan latihan
giat dijalankan oleh Mara terutama melahirkan lebih ramai usahawan termasuk dalam kalangan pelajar di
institusi pendidikan,” katanya.

Beliau ditemui sewaktu melawat ladang solar milik Gading Kencana Sdn. Bhd. di Kompleks Hijau Solar, Ayer
Keroh di sini baru-baru ini. Hadir sama Pengarah Urusannya, Datuk Ir. Guntong Tobeng.

Azizah berkata, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Chemical & Bioengineering Technology (UniKL
MICET) di Taboh Naning, Alor Gajah, bakal melahirkan ramai usahawan dalam bidang pemprosesan dan teknologi
makanan.

Sewaktu melawat UniKL MICET katanya, beliau kagum universiti berkenaan banyak melakukan penyelidikan dan
pembangunan (R&D) untuk menjadi pengeluar makanan berkualiti bagi kegunaan dalam negara serta untuk tujuan
eksport.

“Saya juga sempat melancarkan satu produk kecantikan oleh tenaga pengajar UniKL MICET menggunakan tumbuhan
tempatan iaitu bunga telang. Ini salah satu cara menghasilkan produk di negara ini,” katanya.

Mengenai ladang solar pula beliau berkata, Mara menyokong penuh kesediaan Gading Kencana ingin melahirkan
lebih ramai vendor-vendor dalam kalangan Bumiputera untuk menceburi bidang berkenaan.

Jelasnya, syarikat itu kian berkembang pesat sejak 2014 dan telah menyediakan banyak peluang pekerjaan
selain memberikan latihan dalam bidang tenaga solar kepada pelajar-pelajar di institusi pendidikan Mara.

“Mara yakin Gading Kencana mampu melahirkan lebih banyak usahawan pemasang panel tenaga solar kerana
pengalaman dan kepakaran mereka dalam bidang tenaga solar tidak dinafikan lagi,” ujarnya.

 

(Visited 254 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button