Rencana

Perintah Kawalan Pergerakan: 14 hari bersama keluarga

TANGGAL 16 Mac 2020 tentu sekali akan dikenang sepanjang hidup kebanyakan dari kita.  Ini kerana pada malam tarikh itulah, Perdana Menteri ke-8 mengumumkan Malaysia akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

PKP diumumkan bermula pada 18 hingga 31 Mac 2020, iaitu 14 hari bersamaan dua minggu.  Lalu bermulalah detik-detik pembelian panik, pasaraya penuh, balai polis penuh, jalan raya juga sesak dengan kenderaan pada 17 Mac 2020.  Rayakah esok?

Apa sudah jadi?  PKP hanya perlu berada di rumah.  Bukan memenuhi pasaraya dengan pembelian panik.  Bukan juga berbondong-bondong pulang ke kampung halaman.  Tidakkah terfikir oleh mereka bahawa semua aktiviti mereka itu akan terus memberi ruang dan peluang untuk virus COVID-19 lebih menular.  Tolonglah rakyat Malaysia, berfikirlah secara waras. 

Usaha dilakukan demi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dan bukan terus menularkan ia.  Kasihanilah kumpulan barisan hadapan yang bertungkus lumus di hospital dan klinik-klinik untuk merawat mereka yang terkena wabak.  Mereka juga ada keluarga, anak, isteri, suami dan ibu bapa.  Memang ada yang menyelar “Dah itu tugas mereka kan, gaji diberi atas tugasan tersebut.”  Ya, anda betul.  Namun jika kita tidak bekerjasama, mana mungkin virus ini akan berhenti merebak.  Mereka penat, mereka mengantuk, mereka panas dengan pakaian khas setiap hari.  Ini belum termasuk kes-kes yang menipu sejarah perjalanan semasa disaring.  Susah sangatkah untuk DUDUK DI RUMAH!

Tidak cukup dengan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga turun padang memberi amaran kepada yang masih berdegil. Masuk hari ke-4, masih ramai yang berdegil untuk berada di luar rumah.  Ada yang bangga makan kari kepala kambing lagi. Mempersendakan arahan dan sebagainya tanpa ada rasa bersalah.

Sekali lagi, Perdana Menteri terpaksa merayu kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berada di rumah.  Hari pertama hanya menyaksikan 60 peratus shaja rakyat Malaysia yang patuh arahan.  40 peratus lagi…mungkin kebal.  Kita tolak tepi mereka yang terpaksa keluar bekerja tapi percayalah pekerjaan mereka juga pastinya ke arah membantu menghentikan penularan virus.

Tidak cukup dengan itu, Yang DiPertuan Agong turut menyampaikan titah diraja mengenai perkara ini dan antara lain titah Baginda ialah DUDUK DI RUMAH.

Akhirnya, khidmat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga terpaksa digunakan untuk membantu PDRM bagi memantau pematuhan PKP.

14 hari bukan 14 bulan 

Pematuhan PKP amat penting untuk kesejahteraan bersama demi kelangsungan hidup seorang invividu, keluarga dan komuniti seterusnya sebuah negara.

Sempena Bulan Keluarga Kebangsaan tahun 2019 yang lalu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menjalankan tinjauan pendapat atas talian mengenai hubungan kekeluargaan dan keterlibatan komuniti. 

Tinjauan yang dibuka mulai 24 Oktober hingga 5 November telah berjaya mengumpul 1,308 responden warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas. 

Salah satu soalan di dalam  tinjauan tersebut adalah mengenai peruntukan masa bersama keluarga.  Penemuan tinjauan mendapati rata-rata responden hanya meluangkan masa selama lima jam 28 minit sehari pada Isnin hingga Jumaat bersama keluarga. 

Sejumlah 61.1 peratus responden menyatakan masa tersebut adalah tidak mencukupi.  Manakala, 36.7 peratus menyatakan sudah memadai dan 2.2 peratus pula merasakan lebih daripada mencukupi.

Justeru, inilah masanya mereka yang termasuk dalam kumpulan 61.1 peratus tersebut  memanfaatkan Perintah Kawalan Pergerakan sebaik-baiknya.  Masa untuk menebus segala kelompangan bersama keluarga.  Masa untuk bersantai sepuas-puasnya bersama keluarga.  Masa untuk meraikan keseronokan bersama keluarga.

14 hari DUDUK DI RUMAH.  Tidak perlu keluar bekerja bagi ibu bapa, tidak perlu ke sekolah bagi anak-anak dan tidak perlu menghantar si kecil ke tadika.  Bukankah semua ini suatu nikmat?

Apa nak buat? 

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan bersama-sama keluarga. LPPKN juga ada menyediakan tip menjadi ibu bapa hebat sepanjang 14 hari berada di rumah. 

Tip ibu bapa hebat yang pertama, selain mewujudkan suasana harmoni dan ceria, boleh dipenuhi dengan aktiviti kerohanian juga.  Solat berjemaah dan mengaji al-Quran adalah pilihan terbaik.

Kedua, gunakan masa bersama anak-anak dengan menonton televisyen ala pawagam.  Si bapa boleh membuat jadual siapa yang patut menyediakan hidangan ringan dan siapa yang memilih tajuk filem yang ingin ditonton pada setiap hari. Tentu seronok.  Keterlibatan anak-anak diutamakan.

Ketiga, bagi si ibu dan anak gadis pula, ini juga waktu sesuai untuk mencuba menu baharu atau inovasikan menu masakan menggunakan bahan sedia ada di rumah.  Tidak perlu bermewah-mewah cukup sekadar keperluan sekeluarga dipenuhi kerana kita tidak pasti sama ada tempoh 14 hari ini akan berakhir atau bersambung.

Perkara keempat yang boleh dilakukan ialah aktiviti bercerita atau membaca bersama anak.  Inilah masanya sama ada si bapa atau si ibu menggunakan kreativiti masing-masing untuk menarik perhatian anak-anak.  Melukis dan mewarna juga sesuatu yang boleh dicuba.

Aktiviti kelima, aturkan permainan yang bermanfaat yang menguji minda. Misalnya, permainan cari dan sembunyi, teka teki dan permainan trasisional atau pertandingan karaoke keluarga.  Sediakan sedikit hadiah atau token bagi yang menang.  Bayangkan keseronokan wajah masing-masing ketika ini.  Rakamkan momen-momen menarik untuk tatapan kemudian hari.

Seorang rakan ada berkongsi pendapatnya iaitu kenapa tidak dijadikan 14 hari berada di rumah sebagai satu kenangan indah yang bakal diingati sepanjang hidup.  Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Ya, benar sekali.  Jangan bazirkan waktu yang ada dengan perkara tidak bermanfaat dan sia-sia.

Sewaktu rencana ini ditulis, negara kita berada pada hari kelapan PKP dan 15 kematian telah dilaporkan.  Takziah kepada keluarga si mati.  Sama-samalah kita hentikan rantaian COVID-19 agar tiada lagi kes baharu yang dilaporkan. 

Selain berpeluang menjadi ibu bapa hebat, LPPKN juga menyarankan tip untuk menjadikan anak hebat bagi yang tinggal bersama ibu bapa warga emas.

Jika sebelum ini, kerjaya adalah keutamaan sehingga tiada masa berbual dengan ibu bapa, sekaranglah masa untuk melakukannya.  Arahan bekerja dari rumah jangan dijadikan alasan untuk tidak berbual mesra dengan mereka.  Urus masa sebaiknya. 

Sesekali cuba ciptakan kejutan untuk kedua ibu bapa anda seperti memasak makanan kegemaran mereka.  Tentu seronok apabila si ibu pula memuji masakan si anak.  Dalam masa sama, nescaya ibu akan memberi tip masakan secara tidak langsung.  Dapat makan dan dapat ilmu sekaligus.

Manakala bagi yang mempunyai ibu atau ayah terlantar, inilah waktu terbaik untuk memberi perkhidmatan sempurna seperti memandikan mereka, menukar cadar sekerap mungkin dan menyuapkan makan dan minum.  Tidak rugi melakukannya sendiri kerana tahap kebersihan lebih terjamin.

Selain itu, kerohanian jangan dilupa.  Solat bersama dan bacakan al-Quran kepada ibu ayah yang sakit.  Pada masa sama, jagalah adab dan pertuturan kerana perasaan orang tua mudah tersinggung.  Anak hebat pasti boleh melakukan dengan cara yang terbaik.

Pasangan muda

Bagi pasangan muda yang mempunyai anak kecil pula, berada di rumah tentunya memberi peluang untuk lebih mengenali satu sama lain.

Peranan dan tanggungjawab suami isteri mungkin teruji, namun tanganinya dengan sebaik mungkin.  Bekerjasamalah menjaga di kecil contohnya jika isteri memasak di dapur, suami main peranan untuk menjaga si kecil.

Laksanakan tugas secara bergilir-gilir dan sudah tentu segala kerja akan menjadi lebih ringan.  Suami perlu memahami emosi isteri dan elakkan mereka terlalu penat menguruskan rumahtangga terutama melayan karenah si kecil.  Beri peluang isteri berehat seketika dan begitulah sebaliknya.  Isteri pula jangan mengambil kesempatan menjadi queen control.

Sesekali cuba adakan kelas mengenali barangan dapur kepada para suami.  Sangat lucu  apabila suami tidak kenal jenis-jenis rempah, jenis-jenis sayuran dan jenis-jenis ikan.  Isteri juga apa kurangnya.  Sekaranglah waktu sesuai untuk menambah ilmu rumah tangga.

Pelajaran jangan dilupa

Tidak ke sekolah dan pusat pengajian bukan bermakna tidak boleh belajar.  Waktu inilah para ibu bapa perlu memainkan peranan memantau setiap aktiviti anak masing-masing.

Sentiasalah berhubungan dengan pihak sekolah atau universiti bagi sebarang perubahan atau kelas secara atas talian.  Penggunaan teknologi boleh dimanfaatkan sebaik mungkin.

Tahniah kepada para guru dan pensyarah yang menggunakan teknologi telekomunikasi dan gajet untuk mengatur kelas masing-masing.  Khidmat pesanan suara dan panggilan video boleh digunakan ketika ini.

Contohnya, anak penulis melaksanakan hafazan al-Quran setiap pagi bersama ustaz hanya melalui telefon.  Begitu juga bagi anak penulis yang berada di tingkatan empat, guru mata pelajaran menetapkan waktu tertentu bagi sesi soal jawab oleh para pelajarnya.  Tiada yang mustahil dilakukan walau pun berada dalam PKP ini.

Bosan, risau, gelisah dan sihatkah aku?

Perasaan di atas adalah normal dalam situasi kini.  Kegelisahan dan kerisauan dijangkiti amat tinggi bagi setiap individu.  Percayalah jika arahan PKP dan langkah penjagaan kebersihan diikuti, tiada apa yang perlu dirisaukan. 

LPPKN turut memahami situasi genting ini.  Oleh itu, perkhidmatan kaunseling atas talian turut dibuka dan boleh dimuatnaik oleh semua kumpulan sasar sama ada remaja atau ibu bapa. 

Aplikasi interaktif MykafeTEEN tersedia dengan pegawai-pegawai seperti doktor, kaunselor berdaftar, family coach dan teen educator mengikut jadual.

Remaja, ibu bapa atau sesiapa sahaja kalangan ahli keluarga yang terlibat dengan jangkitan atau barisan hadapan, pegawai LPPKN seperti dinyatakan sedia mendengar luahan dan isihati anda.  Membawa bersama #kaunselinguntuksemua, perkara ini mungkin melegakan banyak pihak.  Tahniah LPPKN atas usaha ini.

Oleh:

ROSMONALIZA BINTI ABDUL GHANI

(Penulis adalah Ketua Unit Komunikasi Korporat, LPPKN)

(Visited 342 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button