Alam Sekitar

Istana Pahang arah hentikan pembangunan di kawasan Tasik Chini

PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan aktiviti perlombongan di Tasik Chini dihentikan. Tengku Hassanal turut mencadangkan, kawasan bekas lombong itu dipulihkan semula dengan penanaman pokok yang bersesuaian.

Baginda juga menitahkan kerajaan negeri Pahang bersama-sama kerajaan Persekutuan mengambil langkah meluaskan kawasan Hutan Simpan Chini dari, 4,600 hektar kepada sehingga 7,000 hektar bagi menjaga kepentingan flora dan fauna di sekitar kawasan Tasik Chini dan sekitar.

Menurut Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman, selain cadangan-cadangan tersebut, Tengku Hassanal jturut menitahkan beberapa langkah diambil dalam usaha memulihara Tasik Chini yang juga permata alam sekitar di negeri Darul Makmur itu.
“Tasik Chini merupakan Tapak Rizab Biosfera UNESCO yang pertama di negara ini. Justeru, pengiktirafan bertaraf dunia tersebut hendaklah dipertahankan,” kata Ahmad Khirrizal dalam kenyataan hari ini.
Tasik Chini sebelum ini telah menjadi perbualan hangat di media-media sosial sehingga menimbulkan pelbagai persepsi dan tohmahan sehingga menyebabkan beberapa agensi mengeluarkan kenyataan rasmi.

Pada 13 Mac 2019, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang telah bersetuju mewartakan kawasan seluas 4,600 hektar sebagai Hutan Simpan Chini.

Tasik kedua terbesar di Malaysia itu juga turut dianugerahkan status sebagai Tapak Rizab Biosfera yang pertama di Malaysia oleh UNESCO pada Mei 2009.

Ahmad Khirrizal juga memberitahu, Tengku Hassanal turut meneliti laporan dan gambar-gambar yang tular di media sosial berhubung aktiviti perlombongan di tasik berkenaan.

“Bagi melihat sendiri keadaan tersebut, baginda telah mengadakan lawatan mengejut pada 13 Jun 2021 di sekitar kawasan Tasik Chini.

“Baginda juga telah meneliti laporan yang dipersembahkan Menteri Besar Pahang berhubung aktiviti perlombongan di kawasan tersebut serta tindakan pemulihan dan pemeliharaan yang telah dijalankan oleh kerajaan negeri,” kata Ahmad Khirrizal lagi.

Tengku Hassanal juga, jelas Ahmad Khirrizal, memuji langkah kerajaan Pahang yang tidak lagi mengeluarkan sebarang lesen baharu sejak 2019.

Tegas Ahmad Khirrizal, Tengku Hassanal juga mengambil berat dan akan sentiasa memantau usaha yang dijalankan oleh kerajaan Pahang untuk memastikan alam sekitar di negeri itu sentiasa terjaga.
“Baginda menyeru agar semua pihak untuk sentiasa mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan urus tadbir yang baik supaya khazanah alam hari ini akan terus kekal dan dapat dinikmati oleh generasi akan datang,” ujar Ahmad Khirrizal. – SM
(Visited 612 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button