NasionalNegeri

Ayam habis, penduduk panik

KECOH pengguna di Perlis apabila ayam habis sejak awal pagi hari ini. Masing-masing pening memikirkan kerana ayam sudah sekian lama menjadi “menu utama” untuk hidangan keluarga. Tambahan pula ayam adalah sumber protein paling murah di pasaran.

Bagaimanapun pengguna jangan panik kerana bekalan ayam kembali pulih mulai esok

Berikutan itu, Pengarah Veterinar Perlis, Dr Adam Abdullah Kwan menjelaskan, “Hari ini memang rata-rata peniaga ayam di pasar basah dan pasar raya ada membuat catuan pembelian,”.

Beliau berkata, dari rujukannya kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis pula setakat ini belum menerima sebarang aduan secara rasmi daripada pengguna mengenai perkara ini.

“Bagaimanapun kita terima maklum balas daripada pengguna semasa melakukan tinjauan di mana ramai mengadu ketidakcukupan ayam,” katanya.
Adam berkata, bekalan ayam di Perlis telah terhenti pada Khamis dan Jumaat lalu.

Bagaimanapun katanya, pembekal ayam terbesar di Perlis iaitu Advance Chicken akan beroperasi semula esok.

Katanya, ada beberapa punca yang dikenalpasti setelah berbincang dengan pemain industri ekoran masalah ini.

Katanya, ini kerana berat ayam tidak mencapai standard pengguna iaitu 2.2 kilogram.

“Dipercayai kualiti dedak tidak seperti sebelum ini dan penyakit, kadar tumbesaran ayam tidak mencapai standard pada waktu penuaian (harvesting) yang ditetapkan,” katanya.

Berikutan itu, katanya, lapan ladang ayam komersial di Perlis yang membekalkan ayam ke loji sembelihan Advance Chicken terpaksa memanjang tempoh pemeliharaan bagi mendapatkan berat standard yang diminta oleh pasaran.

“Pihak ladang menganggarkan stok ayam yang diternak pada masa ini adalah 200 gram, di mana berat ini masih dibawah standard yang diperlukan peraih,” katanya.

Katanya, jika mereka mengikut kehendak permintaan dengan membekalkan ayam lebih kecil akan menyebabkan peraih dan pengguna tidak puashati disebabkan saiz.

“Sekaligus sentimen pengguna tetap diutamakan penternak,” katanya.

Selain itu katanya, permintaan ayam lebih banyak dari biasa disebabkan musim raya Aidilfitri

“Jadi pemain industri memutuskan untuk sekat pengeluaran selama dua hari bagi membolehkan ayam mencapai berat pasaran dan mampu memenuhi permintaan pasaran dengan lebih baik,” katanya.

Adam berkata, dianggarkan 3 juta ekor ayam komersial dihasilkan di ladang-ladang ayam komersil Perlis dalam tempoh setahun.

“Dianggarkan hanya 10 peratus daripada jumlah ini dihantar ke negeri-negeri lain dan selebihnya ke Advance Chicken.

“Secara kiraan kasar 7,500 ekor ayam bulat (diproses) boleh dikeluarkan setiap hari di Advance Chicken,” katanya. – SM

(Visited 326 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button