Nasional

Axiata, Telenor lengkapkan penggabungan Celcom-Digi

AXIATA Group Bhd, Telenor Asia Pte Ltd dan Digi.com Bhd (Digi) telah menyelesaikan penggabungan operasi telekomunikasi Celcom Axiata Bhd dan Digi.

Axiata berkata dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini bahawa ia dan Telenor akan memegang pemilikan sama rata dalam Celcom Digi pada 33.1 peratus setiap satu.

Apabila siap, Axiata menerima saham Digi yang baru diterbitkan mewakili 33.1 peratus dan tunai RM2.5 bilion yang dibiayai oleh Digi dan akan diambil alih oleh entiti yang digabungkan (Celcom Digi).

Digi juga menerbitkan saham kepada Telenor untuk mencapai pemilikan yang sama berikutan pembayaran Telenor sebanyak RM300 juta kepada Axiata.

“Dalam memacu proses penyatuan, Axiata dan Telenor bergerak membentuk syarikat telekomunikasi digital Malaysia bertaraf dunia yang akan menyumbang secara signifikan ke arah pertumbuhan ekosistem digital dan ekonomi negara.


“Celcom Digi akan menjadi syarikat teknologi tempatan terbesar di Bursa Malaysia,” katanya.

Dalam satu kenyataan bersama, Axiata dan Telenor berkata secara pro forma bagi tahun kewangan 2021, Celcom Digi akan memberi perkhidmatan kepada kira-kira 20 juta pelanggan, dengan pendapatan RM13 bilion dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan ( EBITDA) sekitar RM5.8 bilion.

“Celcom Digi kekal komited kepada sasaran sinergi yang diumumkan sebelum ini sebanyak RM8 bilion,” kata kenyataan itu.

Mereka berkata melalui gabungan skala, kecekapan, kekuatan kewangan dan pengalaman dalam memenuhi pelbagai keperluan pengguna Malaysia, Celcom Digi akan mengemukakan cadangan yang kukuh untuk memacu peralihan negara ke arah masyarakat berpendapatan tinggi yang dibolehkan secara digital.

“Bagi pihak lembaga pengarah Axiata, saya mengucapkan tahniah kepada pasukan Celcom Digi atas permulaan baharu ini. Ia adalah kemuncak kerja integrasi yang teliti selama berbulan-bulan untuk mencipta juara digital Malaysia.

“Melangkah ke hadapan, saya yakin Celcom Digi berada pada kedudukan yang baik untuk memberi perkhidmatan kepada pengguna dan perusahaan Malaysia yang ingin meningkatkan daya saing digital dalam era semasa,” kata pengerusi Axiata Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan.

Sementara itu, naib presiden eksekutif dan ketua Asia, Telenor, Jørgen C Arentz Rostrup, berkata syarikat itu komited untuk menjadi pemilik aktif, membawa pengetahuan teknologi, pengalaman merentasi pasaran antarabangsa dan perkongsian global dengan gergasi industri kepada Celcom Digi.

Pelancaran Celcom Digi mewakili peristiwa penting dalam perjalanan pendigitalan Malaysia, sejajar dengan cita-cita Telenor untuk membina pengendali terkemuka yang memberi perkhidmatan kepada pelanggan dengan produk dan perkhidmatan yang relevan, menarik dan mudah,” katanya.

Celcom Digi juga akan melabur sehingga RM250 juta dalam tempoh lima tahun untuk membina pusat inovasi bertaraf dunia di Kuala Lumpur.

“Matlamatnya adalah untuk memangkin transformasi digital Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan mengukuhkan ekosistem tempatan melalui penggunaan Internet Perkara (IoT), kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan 5G.

“Merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar untuk merangsang penyertaan sosio-ekonomi yang lebih besar akan menjadi keutamaan,” kata mereka.

Selain Axiata dan Telenor, pelabur institusi Malaysia seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) adalah antara pemegang saham syarikat baharu itu.

 

(Visited 108 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button