Politik

Awal 2021 waktu terbaik PRU-15

Oleh DATUK WAN AHMAD WAN OMAR 

YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu terburu-buru untuk membubarkan Parlimen semata-mata disebabkan kerana usul beliau untuk menukar Speaker ‘tersekat’ menemui kegagalan.

Kalah menang dalam pengundian terhadap pembentangan sesuatu usul adalah perkara biasa dalam Dewan Perwakilan, di bawah proses demokrasi berparlimen.

Wan Ahmad Wan Omar

Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan pernah kalah semasa pembentangan usul untuk pindaan Perlembagaan pada 2019 melibatkan urusan Negeri Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Kalah dalam pengundian usul di dalam Dewan, tidak menjatuhkan maruah Perdana Menteri sebagai Ketua Kerajaan. Maruah sebagai PM tidak tercalar.

Umum menyedari bahawa budaya politik di negara ini terlalu bersifat taksub dan kepartian dalam semua pendirian dan perkara.

Kepentingan parti mempengaruhi emosi wakil-wakil rakyat dalam semua perkara yang berbangkit, baik di dalam Dewan atau di luar Dewan.

Apa jua tindakan, perkiraan dan taat setia wakil- wakil rakyat adalah kepada pendirian arti masing-masing.

Dalam konteks pengundian usul untuk menukar Speaker oleh kerana Tan Sri Ariff ialah Speaker lantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) maka di atas kertas, semua wakil rakyat pembangkang dijangka akan menolak Usul tersebut.

Pengundian terhadap Usul berkenaan dijangka bersifat partisan dan tegang. Emosi kepartian mengatasi segala logik dan perkiraan yang lain.

Sejujurnya, YAB PM, jika sekalipun usul untuk menukar Speaker menerima kegagalan, penjadualan program Sesi Parlimen bermula 13 Julai mesti diteruskan.

Pembentangan usul-usul lain termasuk pembentangan Bajet mesti kepada perlaksanaan program pemerintahannya.

Pembentangan Bajet tahunan merupakan pengumuman Manifesto pilihan raya tidak rasmi yang penting perangan kerajaan untuk rakyat dan negara.

Melalui Bajet, dapat memberi ruang dan peluang kepada PM utk mengumumkan dasar-dasar dan program-program pemerintahannya untuk tempoh mendatang.

Memanggil Pilihan Raya Umum, merupakan kelebihan strategi yang dimiliki kerajaan yang memerintah. Oleh yang demikian, nasihat saya Perikatan Nasional (PN) gunakan kelebihan sebagai Kerajaan (‘advantage as the government in power’) sebaik mungkin.

Dalam persekitaran persaingan politik negara sekarang, antara dua blok gabungan yang kekuatan dianggap lebih kurang sama, kalah menang parti pemerintah (the rulling party), banyak bergantung kepada bila masa yg terbaik untuk PM memanggil pilihan raya umum.

Dalam konteks ini, terbukti dalam PRU-14, BN telah tersilap perkiraan dalam menetapkan masa (bulan) terbaik untuk memanggil PRU-14.

BN sebenarnya pernah diberi nasihat supaya memanggil PRU-14 pada awal Tahun 2017, oleh kerana pihak pembangkang ketika itu masih terumbang-ambing, tiada Parti Bersatu dan tiada PH.

Malangnya, parti kerajaan tidak mendengar nasihat. Atas perkiraan tertentu, BN memutuskan untuk membubarkan Parlimen pada 7 April dan SPR menetapkan Pengundian pada 8 Mei 2018.

Umum mengetahui, kelewatan satu tahun memanggil PRU, telah membawa kekalahan BN yang tidak diduga. Tempoh satu tahun telah memberi ruang dan peluang untuk Dr. Mahathir menubuh partinya (Bersatu) dan sempat mewujudkan kesepakatan membentuk PH.

Akibatnya, BN kalah teruk. Janganlah hendaknya Tan Sri Muhyiddin dan PN mengulangi kesilapan tersebut.

Wan Ahmad Wan Omar adalah bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya.-SM

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
error: Isi kandungan ini di lindungi dari Copy & Paste !!
Close
Close