Ekonomi

Prasarana sasar lebih 10 peratus tambahan penumpang bagi LRT laluan Kelana Jaya

PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) menjangkakan lebih 10 peratus pertambahan penumpang bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya menerusi penggunaan 27 set tren baharu Bombardier Innovia Metro 300.

Pengerusi Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata setakat ini, pihaknya telah menerima tiga set tren tersebut dan bakinya akan diterima secara berperingkat sehingga 2023.

“Dua set tren telah diperoleh dan sedang dalam proses pemasangan di Westport, Pelabuhan Klang. Kita jangka satu set tren ini akan beroperasi pada hujung tahun ini manakala dua set lagi masih dalam perjalanan menggunakan perkhidmatan kapal laut,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan set kelima tren itu KLIA semalam.

Tren itu, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, merupakan antara 27 set baharu yang dibeli di bawah projek Kuala Lumpur Additional Vehicle (KLAV).

Tajuddin berkata tren itu mencatat sejarah sebagai yang pertama dihantar melalui pesawat kargo awam terbesar dunia, Antonov An124-100.

“Sebelum ini, tren-tren buatan Bombardier dihantar ke negara ini menggunakan kapal laut yang memakan masa dua bulan sebelum sampai di Pelabuhan Klang,” katanya. – BERNAMA 

(Visited 269 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button