Nasional

Seni tidak harus terkepung dalam kepompong genre – Titah Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa ‘Seni tidak boleh lagi berada dalam ruang lingkup atau kelompoknya sendiri, sebaliknya seni Visual atau apa jua ‘genre’ seni dan budaya ini harus turun kepada masyarakat’.

‘Aktivis kini tidak harus mengasingkan diri dengan berkarya di dalam studio, galeri atau di premis yang tertutup sahaja tetapi turunlah mendampingi masyarakat atau komuniti setempat, berkarya sambil melakukan aktiviti kemasyarakatan’.

Demikian titah Tuanku Raja Muda ketika berkenan berangkat merasmikan “Program Seni Bersama Komuniti : Rural Art Experience Negeri Perlis, Tahun 2020-2021” yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia, Balai Seni Negara serta Persatuan Pelukis Negeri Perlis (PPNPs) di Nipah Klasik, Kg Bunga Emas, Simpang Empat.

Keberangkatan baginda yang diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda sulung, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail disambut oleh Pengerusi PPNPs Yaakob Abd Aziz.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra yang turut berkenan merasmikan Telaga Puteri Bunga Emas dan juga melawat pameran lukisanyang disediakan, Program Seni dan Komuniti yang dilaksanakan seumpama ini adalah satu inisiatif yang amat baik dan bertepatan dengan slogan “Seni Untuk Masyarakat”.

Karya seni tidak boleh selamanya semata-mata berada di galeri yang gah dan terasing. Pelukis dan karya wajar dibawa dan dipamerkan kepada masyarakat dalam ruang yang lebih terbuka dan mudah untuk didekati.

Baginda berharapkan suatu masa nanti Perlis bukan saja terkenal sebagai hub kepada eco-tourism, agro-tourism, sports-tourism, malah hasil-hasil karya seni yang tercipta di dinding-dinding, di lorong, di luar dan di dalam premis serta yang sedia terpamer di galeri akan menyemarak dan mempercepatkan lagi usaha bagi menjadikan negeri ini hub kepada art-tourism.

Tuanku Raja Muda amat berharap dan yakin melalui inisiatif-inisiatif yang digerakkan oleh semua pihak ke arah menjadikan lanskap negeri Perlis ini indah dan berwajah baharu, InsyaAllah, ia akan berjaya menarik lebih ramai pelancong dan meningkatkan lagi ekonomi negeri dan rakyatnya.

Seramai 50 orang pelukis dari dalam dan luar Perlis hadir pada program yang berlangsung selama dua hari tersebut dengan pelbagai aktiviti melukis dan gotong-royong diadakan bersama penduduk setempat.

(Visited 330 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button