Alam SekitarBencana alam

JKR digesa segera perbaiki jalan di Felda Pasoh

AHLI Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias meminta Jalan Utama Perkampungan Felda Pasoh 1 & Pasoh 4 (FT1281) telah mengalami kerosakan struktur (berlubang dan terputus sebelah jalan) pada 7 Januari 2023 yang lalu diperbaiki segera.

Jalaluddin berkata, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jelebu telah memohon baikpulih jalan tersebut kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Jelebu melalui sepucuk surat bertarikh 16 Januari 2023.

“Pada 27 Januari 2023, JKR Daerah Jelebu telah membuat maklumbalas bahawa mengikut Seksyen 1.0. JKR Daerah Jelebu telah mengemukakan permohonan kerja penyelenggaraan di lokasi aduan melalui Cadangan Kerja Berkala Bukan Pavemen (Luar Jangka/ One Off) bagi tahun 2023.

”Sepanjang tempoh tersebut juga, saya telah melakukan beberapa siri perbincangan bersama pihak berkaitan, termasuklah permohonan kepada pihak JKR Negeri Sembilan agar proses ini dapat dipercepatkan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sehingga ke hari ini (20 Jun 2023), tiada sebarang proses dilakukan pihak berwajib untuk menyelesaikan aduan rakyat ini.

Tambah beliau, bagi memastikan keselamatan kira-kira 4,000 pengguna jalan raya/penduduk di Pasoh 1 dan Pasoh 4, penduduk kampung mengambil inisiatif meletakkan kon sebagai tanda amaran kerana kebimbangan mereka sekiranya berlaku kemalangan di kawasan tersebut.

Kebimbangan mereka, katanya, bukan semata-mata kerana jalan berkenaan rosak atau berlubang namun ianya juga berpunca daripada tiada lampu jalan di kawasan tersebut.

Sehubungan itu, beliau mengambil serius isu ini dan meminta pihak bertanggungjawab untuk menyegerakan tindakan baik pulih jalan berkenaan, demi menjaga keselamatan dan keselesaan penduduk setempat.

“Semasa melawat lokasi pada 20 Jun 2023, saya dimaklumkan oleh wakil Selia Selenggara Group bahawa kerja-kerja baikpulih akan bermula pada 3 Julai 2023 ini. Saya minta perkara ini dapat dibaiki dengan cepat bagi mengelak perkara tidak diingini,” kata beliau.

(Visited 158 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button