Nasional

Johari ketuai delegasi Malaysia ke AIPA

Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN Ke-44 (AIPA) di Jakarta, Indonesia pada 4 sehingga 11 Ogos ini.

Dalam lawatan rasmi itu, Johari akan mengambil bahagian dalam Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN Ke-44 (AIPA) dan akan menyampaikan kenyataan Malaysia yang memfokuskan kepada tema “Responsive Parliaments for a Stable and Prosperous ASEAN” mengenai kepentingan sistem Parlimen yang baik dalam mendepani cabaran agar membangun menjadi rantau yang aman, stabil dan demokratik.

Johari dalam kenyataannya berkata, Malaysia juga bakal menaja dua resolusi berkenaan ancaman keganasan, ekstrimisme dan radikalisasi serta peranan parlimen dalam menangani hubungan keselamatan air, tenaga dan makanan (WEF) di ASEAN.

Kemuncak lawatan rasmi berkenaan adalah pertemuan Johari dengan rakan sejawatannya iaitu Puan Yang Terutama Maharani Nakshatra Kusyala Devi Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia yang bakal diadakan pada 7 Ogos.

Kedua-dua pihak akan membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama yang mencakupi hubungan dua hala dan kerjasama antara Parlimen ASEAN.

Untuk rekod, AIPA yang mula ditubuhkan pada 1977 sebagai Pertubuhan Antara Parlimen (AIPO) bertujuan menggalakkan persefahaman, kerjasama dan hubungan rapat antara ahli parlimen serta sebagai permerhati ahli Parlimen dan pertubuhan Parlimen yang lain.

AIPA juga merupakan gabungan utama Parlimen negara-negara Asia Tenggara dalam membangun hala tuju ASEAN.

Johari akan diiringi Timbalannya, Datuk Ramli Mohd Nor, Alice Lau Kiong Yeng, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat II, Wong Chen, Ahli Parlimen Subang, Syed Ibrahim Syed Noh, Ahli Parlimen Ledang, Datuk Mohd Shahar Abdullah, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi dan ramai lagi. – SM

(Visited 33 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button